Filem seram tempatan Polong terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM5.5 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan di pawagam.
Artikel Berkaitan: Filem Polong Dilabel ‘Sampah’, Mimi Lana Bersuara – ‘Agak Keterlaluan, Penonton Lain Menjerit’
RM5.5 Juta

Pencapaian memberangsangkan itu sekali gus membuktikan genre seram tempatan masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan penonton dan mampu bersaing dengan pelbagai naskhah lain di pawagam.
Sejak mula ditayangkan pada 28 Mei lalu, Polong bukan sahaja mendapat sambutan hangat peminat filem seram, malah turut menjadi bualan di media sosial apabila ramai penonton berkongsi pengalaman mereka berdepan pelbagai adegan mendebarkan dan mengejutkan sepanjang tayangan.
Kejayaan filem tersebut turut disokong oleh pelbagai ulasan positif daripada pengkritik filem serta pencipta kandungan yang telah menyaksikan naskhah berkenaan.
Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), filem ini diedarkan oleh 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. dengan kerjasama pemasaran daripada Primeworks Studios dan Astro Shaw.
Polong menampilkan barisan pelakon seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis.
Mengangkat tema ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi, filem ini mengisahkan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang secara tidak sengaja membongkar sejarah gelap seorang bomoh wanita bersiri bernama Maria Hadi.
Penyiasatan yang pada awalnya dilakukan demi mendapatkan bahan berita akhirnya membawa kepada kebangkitan satu kuasa gelap yang sekian lama tersembunyi.
Gabungan elemen seram tradisional tempatan, naratif psikologi yang mendalam serta aspek teknikal yang mantap menjadikan Polong lebih daripada sekadar sebuah filem seram biasa.
Kekuatan penceritaan, visual sinematik dan reka bentuk bunyi yang menggerunkan berjaya memberikan pengalaman menonton yang meninggalkan kesan kepada penonton.
Lebih membanggakan, kutipan RM5.5 juta dalam tempoh empat hari itu dicapai hasil sokongan luar biasa rakyat Malaysia yang terus memilih karya tempatan sebagai hiburan utama sepanjang musim cuti sekolah dan cuti umum.
Fenomena Polong membuktikan bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi, identiti tersendiri dan keberanian dalam penceritaan mampu menarik perhatian khalayak serta bersaing dengan filem antarabangsa di pawagam.
Bagi yang masih belum berkesempatan menonton, Polong kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Saksikan sendiri filem yang sedang hangat diperkatakan ramai dan alami pengalaman seram yang menghantui penonton di seluruh Malaysia.
The post Selepas Empat Hari Di Pawagam, Filem Polong Raih Kutipan RM5.5 Juta first appeared on OHBULAN!.





