Ketua Polis Negara (IGP), Razarudin Husain menjelaskan siasatan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dilakukan mengikut prosedur dan bukannya secara tergesa-gesa.
Katanya, siasatan berhubung isu agama, raja dan kaum (3R) dilakukan mengikut masa yang ditetapkan iaitu selama tujuh hari, manakala arahan pendakwaan pula datang dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Sebelum ini, kita sudah beritahu akan tunjukkan prestasi kita dalam tujuh hari. Tiada kena- mengena tergesa-gesa. Kalau kata hari ini siasat, esok tuduh, mungkin tergesa-gesa.

"Dalam masa tujuh hari itu, mungkin siasatan habis dalam masa empat hari dan AGC pula akan ambil masa satu atau dua hari pula atau 24 jam sahaja rakam keterangan dan arahan tuduh daripada AGC.
"Tidak timbul isu tergesa-gesa, tapi memang ambil masa yang tetap. Kalau lambat nanti orang kata kita lembab. Bila cepat, kata tergesa-gesa pula," katanya kepada wartawan di Kuala Krai, Kelantan, hari ini.
Muhyiddin disiasat berhubung ucapannya di Felda Perasu, Kelantan semasa PRK Nenggiri ketika dia mengulas mengenai pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum pada 2022.
Ucapannya disifatkan sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mendakwa undang-undang hasutan yang sebelum ini ditentang oleh Pakatan Harapan, kini digunakan untuk menakut-nakutkan pemimpin PN.

Muhyiddin hari ini memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Gua Musang di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri, pagi ini.





