28.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Mangsa kebakaran Kg Bahagia hilang punca rezeki, rayu bantu bina semula rumah

    Shopee Sale

    Tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia di Sandakan semalam bukan sahaja memusnahkan tempat tinggal, malah turut melenyapkan gerai yang menjadi sumber rezeki bagi sebuah keluarga.

    Hajijah Abdul Moksin, 47, berkata beliau bersama sembilan ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas terpaksa bergegas menyelamatkan diri berikutan api marak dengan pantas.

    Wanita itu berkata lebih memilukan, gerai kecil tempatnya mencari rezeki bersama suami dengan menjual ikan bakar dan putu, makanan tradisional berasaskan ubi kayu turut musnah membuatkan beliau buntu untuk memikirkan kelangsungan hidup keluarganya.

    "Bantuan yang diterima setakat ini memang cukup untuk jangka pendek. Namun untuk hari-hari ke hadapan, saya tidak tahu macam mana mahu mula semula kerana tempat kami bergantung rezeki sudah musnah," katanya kepada Bernama.

    Semalam, kebakaran besar di perkampungan atas air itu mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah membabitkan kawasan lebih empat hektar, dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini. Susulan itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan bantuan awal RM2,000 kepada setiap ketua isi rumah.

    Walaupun sarat dengan kebimbangan, Hajijah menzahirkan rasa syukur atas kecekapan kerajaan negeri menyalurkan bantuan awal yang pantas termasuk wang tunai RM2,000, sumbangan makanan, pakaian serta PPS yang selesa.

    Namun begitu, bayangan penutupan PPS dalam masa terdekat amat meresahkannya, memaksa beliau kini mula mencari alternatif untuk berteduh seperti mencari rumah sewa yang murah atau menumpang sementara di rumah saudara-mara.

    Hajijah berkata beliau merayu kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan bantuan khusus untuk membina semula kediaman dan gerainya di tapak asal, di samping memulihkan kemudahan asas seperti jambatan, bekalan air serta elektrik.

    Menyentuh mengenai pengumuman pewartaan Kampung Bahagia, Hajijah menyambut baik khabar gembira itu dan bertekad untuk kembali memulakan kehidupan baharu di lokasi berkenaan memandangkan keluarganya telah menetap di situ selama lebih 40 tahun.

    MENARIK:  Meriah majlis kahwin Melayu ada silat, gendang India dan tari singa

    "Perkara ini (pewartaan) memang ada juga dimaklumkan sebelum kebakaran berlaku lagi. Jadi, kami sangat gembira dan berharap proses ini dapat mempermudah urusan kami membina semula kehidupan di sana," katanya.

    Hajijah berkata musibah itu turut menjejaskan persekolahan dan pengajian anak-anaknya, termasuk seorang di tadika serta dua menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kebetulan sedang bercuti dan kini terpaksa mengikuti kelas dalam talian di PPS tanpa sebarang kelengkapan sempurna.

    Sementara itu, hasrat untuk kembali mendirikan kediaman di tapak asal yang musnah menjadi harapan utama mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, berikutan kekangan kewangan yang menyukarkan mereka untuk menyewa rumah di tempat lain.

    Bagi Kianle Basari, 40, walaupun amat bersyukur menerima bantuan kecemasan berserta bekalan makanan dan minuman yang mencukupi, bantuan jangka panjang daripada pihak kerajaan untuk membina semula tempat berteduh amat diperlukan oleh enam ahli keluarganya.

    "Malam tadi sebahagian daripada kami tidur di PPS, manakala sebahagian lagi pulang ke tapak kebakaran untuk menjaga saki-baki barang yang tinggal. Buat masa ini kami akan tinggal di PPS selama seminggu dan selepas itu kami terpaksa ikhtiar mencari tempat lain sambil mengharapkan ihsan bantuan kerajaan," katanya.

    Beliau juga menyambut baik pengumuman Ketua Menteri berhubung pewartaan kawasan itu sebagai perkampungan, sekali gus menguatkan azam mereka untuk membina semula rumah di tapak asal memandangkan kehidupan dan punca pencarian rezeki penduduk sudah sebati di situ.

    Nada sama turut disuarakan seorang lagi mangsa, Ainie Umai Abdullah, 38, yang mengakui masih dalam fasa cuba menerima takdir mengejut yang menimpa keluarganya.

    “Beban kewangan yang ditanggung menjadi penghalang utama buat mangsa yang kebanyakannya berpendapatan rendah untuk mencari perlindungan alternatif. Kalau menyewa rumah pasti melibatkan kos yang banyak, kami memang tidak mampu," luah suri rumah itu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah