Penganjur Songkran Sunset Splash Run, KSRun Athletic Club, mempertahankan konsep acara tersebut susulan kebimbangan awam berhubung penggunaan air dan kaitannya dengan elemen budaya.
Kelab itu berkata acara yang berlangsung Sabtu lalu di Kota Kinabalu itu hanyalah larian santai (fun run) yang disertakan elemen “water experience” sebagai aktiviti tambahan, dan bukan penganjuran festival budaya secara penuh.
“Kami memahami terdapat kebimbangan daripada orang awam, khususnya berkaitan penggunaan air serta konsep acara yang dikaitkan dengan elemen budaya. Kami menghormati setiap pandangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut penganjur, penggunaan nama “Songkran” tidak merujuk secara langsung kepada mana-mana perayaan, sebaliknya diambil daripada asal usul bahasa Sanskrit yang membawa maksud pergerakan, peralihan dan perubahan.
“Maka, ia selari dengan konsep acara larian yang menekankan tenaga positif dan pengalaman dinamik,” tegas kenyataan itu lagi.
KSRun turut menegaskan bahawa acara tersebut tidak mewakili atau meniru mana-mana festival budaya secara khusus, dan tidak bertujuan dikaitkan dengan amalan budaya negara lain.
Terdahulu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dilaporkan bakal mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program Songkran Sunset Splash Run kerana gagal mematuhi syarat penganjuran yang ditetapkan.
DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan program yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan, khususnya membabitkan kaedah penggunaan air serta impak terhadap kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.

DBKK juga mengarahkan penganjur melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta bagi memastikan kawasan yang terjejas kembali ke keadaan asal.
Sementara itu, isu penggunaan air yang dibangkitkan turut dijawab penganjur, yang memaklumkan bahawa peranancangan telah dibuat sejak enam bulan lalu, dengan bekalan air dibeli sepenuhnya oleh pihak mereka.
“Ia merupakan salah satu tarikan utama bagi meningkatkan pengalaman peserta,” katanya lagi.
Dari segi penyertaan, penganjur berkata acara itu berjaya menarik kehadiran pelbagai lapisan peserta, termasuk dari luar Sabah dan pelancong antarabangsa.
Antara pecahan yang diberikan ialah 30 peratus peserta dari luar Sabah, termasuk Singapura, Kuala Lumpur, Sarawak dan Brunei.
Selain itu 30 peratus pelancong terdiri daripada 10 peratus pelancong ‘walk-in’ dan 20 peratus dari luar daerah Kota Kinabalu, manakala selebihnya peserta tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, sambutan terhadap acara tersebut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Dalam perkembangan itu KSRun berkata peserta membuat pelbagai komitmen awal termasuk bayaran yuran, tempahan penginapan dan tiket penerbangan, justeru penganjur perlu memastikan acara berjalan lancar.

“Kami tidak boleh menganjurkan acara ini secara sambil lewa. Tanggungjawab kami adalah memastikan setiap peserta menerima pengalaman terbaik.
“Kami juga berharap agar perkara ini tidak disalah tafsir sebagai isu politik, terutamanya berkaitan penggunaan air,” katanya.
Bagaimanapun, KSRun mengakui kemungkinan terdapat kekurangan dari segi kepekaan terhadap sensitiviti awam.
“Kami akui mungkin terlalu memberi tumpuan kepada pengalaman peserta sehingga terlepas pandang sensitiviti dan persepsi pihak awam,” kata penganjur.





