Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 Jun untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membatalkan perintah sepina yang mewajibkan dirinya memberi keterangan dalam saman sivil terhadap ahli perniagaan Vinod Sekhar dan isterinya Winny Yeap.
Peguam Colin Perreira memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi bahawa peguam Anwar, Sanjay Mohansundram dan Rodney Gan memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi memberi laluan kepada permohonan tersebut.
“Saya membantah penangguhan itu kerana pemfailan permohonan yang lewat,” kata Perreira yang mewakili 12 plaintif yang mendakwa Vinod dan isterinya memujuk mereka untuk melabur dengannya atau dengan pelbagai syarikatnya tanpa mendedahkan status muflisnya ketika itu.

Bagaimanapun mahkamah menangguhkan pendengaran hari ini dan memberikan tarikh baharu iaitu 4 Mei bagi plaintif memfailkan afidavit jawapan, serta 11 Mei untuk Anwar menjawab afidavit tersebut, dan 19 Jun untuk mendengar permohonan itu, kata Perreira sambil menambah bahawa prosiding saman RM30 juta pagi tadi diadakan dalam kamar.
Pada mulanya, Pesuruhjaya Kehakiman Adam @ Edward Abdullah dijadualkan menyambung pendengaran kes minggu ini dengan Anwar sepatutnya dipanggil naik ke kandang saksi susulan perintah sepina yang dikeluarkan dan diserahkan kepadanya pada Januari.
Bagaimanapun, perdana menteri memfailkan untuk membatalkan perintah itu pada 15 April.
Sementara itu, peguam defendan, Rajan Navaratnam mengesahkan tarikh baharu tersebut kepada Malaysiakini dan berkata 25 Jun ditetapkan untuk perbicaraan kes.
Tiada kaitan dengan Vinod
Anwar dalam permohonannya yang difailkan minggu lalu mendakwa adalah silap dan tidak berasas untuk mendakwa dia dan Vinod mempunyai hubungan rapat, walaupun dirujuk sebagai sekutu dalam pertukaran e-mel defendan dengan dua plaintif pada 2008 dan 2010.

Anwar seterusnya berkata tiada apa-apa dalam e-mel tersebut yang menunjukkan dia terlibat dalam perkara yang menjadi subjek saman yang sedang berlangsung.
“Sebagai tokoh awam dan ahli politik, saya bertemu ramai individu dan mempunyai ramai penyokong, dan bukan perkara luar biasa bagi orang merujuk kepada saya dalam komunikasi mereka.
“Bagaimanapun, rujukan sedemikian tanpa bukti lain tidak mewajarkan saya dipanggil sebagai saksi dalam saman hanya kerana individu atau penyokong tersebut kemudiannya menjadi pihak yang berperkara,” katanya dalam afidavit sokongan itu.
Sebut nama
Plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka berkata mereka mempersoalkan Vinod mengenai dakwaan muflisnya melalui e-mel pada 30 September 2020 dan ahli perniagaan itu didakwa tidak mengendahkannya.
Plaintif mendakwa Vinod seolah-olah mencadangkan seorang bernama Anwar akan menguruskan perkara itu dan defendan sehaluan dengan individu yang dirujuk itu, yang mereka percaya merujuk kepada perdana menteri.
Sepuluh daripada 12 plaintif dalam kes ini iaitu Ronald Barrie Clapham, Graham David Bell, Arthur J Mirante II, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young, dan Uri Fruchtmann merupakan pelabur Vinod.
Dua lagi iaitu Andrew Murray-Watson dan April Srivikorn merupakan pekerjanya.
Mahkamah mula mendengar kes itu pada Oktober tahun lalu apabila salah seorang pelabur, Bell, memberi keterangan bagi pihak plaintif.
Bell memberitahu mahkamah bahawa Vinod menggambarkan dirinya sebagai ahli masyarakat yang boleh dipercayai kerana hubungannya dengan orang berpengaruh termasuk Anwar.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa plaintif hilang sabar dan memfailkan saman terhadap Vinod dan Yeap selepas pasangan itu sentiasa gagal mengemas kini status pelaburan mereka.
Bagaimanapun semasa satu prosiding, Bell bersetuju dengan peguam Vinod, Rajan, bahawa tiada bukti membuktikan Vinod menggunakan nama Anwar untuk meminta pelaburan atau wang daripadanya atau 11 plaintif lain.





