PH hari ini mengumumkan gabungan parti kerajaan itu bersetuju memberi ruang kepada BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota, Johor akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim.
“Kepemimpinan tertinggi PH telah bermesyuarat pada minggu lepas dan bersetuju dengan keputusan bahawa kerusi DUN Mahkota tidak ditandingi oleh calon PH pada pilihan raya kecil nanti.
“Adalah juga dipersetujui bahawa PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi “incumbent” seperti mana Barisan Nasional berbuat serupa ketika pilihan raya kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari.
“PH akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rabu lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN akan bertanding pada PRK DUN Mahkota pada 28 Sept depan.
Presiden Umno itu turut memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesuatu parti.
Sebelum ini, Amanah Kluang menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan menerusi ketuanya, Mohd Zuhan Mohd Zain.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, meskipun pada umumnya parti itu sedia memberi laluan kepada parti dalam kerajaan perpaduan yang menjadi penyandang untuk dicalonkan dalam mana-mana PRK, namun pendirian tersebut bukanlah muktamad.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Amanah yang mewakili PH, PN dan Warisan.





