Dua nama muda yang sedang meningkat naik dalam industri muzik tanah air, El Riss dan Fana Ibrahim kini bersatu tenaga menerusi single kolaborasi pertama mereka yang berjudul ‘Adat Bercinta’.
Artikel Berkaitan: Lagu Baru Diana Danielle Tak Sindir Sesiapa – ‘Niat Saya Hanya Untuk Hiburkan Pendengar’
Artikel Berkaitan: Datuk Mokhzani Iktiraf Azharina Antara Penyanyi Terbaik Malaysia, ‘Teaser’ Muzik Video Lagu Baru Jadi Tanda Tanya!
Perjalanan cinta

Karya ini membawa pendekatan lebih jujur dalam menggambarkan perjalanan cinta, dengan menonjolkan realiti hubungan yang tidak hanya dipenuhi dengan momen indah sahaja.
Sebaliknya turut melalui fasa turun naik yang dekat dengan kehidupan sebenar.
Selain itu, El Riss yang sebelum ini mula dikenali melalui platform TikTok, berjaya mencuri perhatian selepas lagu ‘Lukisan’ mencatat lebih 13 juta tontonan, dan terus mengukuhkan reputasinya sebagai penyanyi yang kuat dari segi penyampaian emosi dalam setiap karya.
Bercerita mengenai lagu ini, El Riss menjelaskan bahawa ‘Adat Bercinta’ mempunyai makna yang cukup dekat dengan dirinya dan sarat dengan pengalaman yang pernah dilalui.
Lagu ini sangat jujur.
Ia bukan hanya tentang cinta yang indah, tetapi tentang realiti hubungan yang ada turun naik.
Saya rasa ramai akan nampak diri mereka dalam lagu ini.
Penyampaian penuh perasaan

Sementara itu, Fana Ibrahim turut dilihat sebagai antara bakat baharu yang semakin menyerlah dalam dunia muzik tempatan.
Selepas kemunculan single pertamanya ‘Tanpa Relaku’, Fana terus menarik perhatian dengan bakat vokal serta kemahirannya bermain gitar yang menjadi identiti tersendiri.
Di samping itu, pengalaman menyertai program realiti nyanyian di televisyen sebelum ini juga dilihat membantu membentuk keyakinan dirinya untuk melangkah lebih jauh sebagai artis baharu yang berpotensi besar.
Mengulas mengenai kolaborasi tersebut, Fana menyifatkan peluang itu sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dalam perjalanan seninya.
Saya sangat teruja bila dapat tahu akan berduet dengan El Riss.
Kami datang dari latar belakang yang berbeza, tetapi bila digabungkan, ia beri rasa yang unik dalam lagu ini.
Dari segi muzik, lagu ‘Adat Bercinta’ menampilkan gabungan vokal yang seimbang antara El Riss dan Fana Ibrahim, dengan penyampaian penuh perasaan serta susunan muzik yang moden dan segar.
Dalam pada itu, lagu ini dihasilkan oleh komposer Achik Asrain dan Adek Soraya, yang berjaya mengangkat tema percintaan bukan sahaja dari sudut romantik, tetapi juga aspek cabaran, keikhlasan dan kematangan dalam sesuatu hubungan.
Dengan gabungan dua artis generasi baharu serta penceritaan yang dekat dengan realiti, lagu ini dijangka mampu memberi impak dan menjadi pilihan pendengar muzik tempatan.
Single ‘Adat Bercinta’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April yang lalu.
The post El Riss & Fana Ibrahim Bergabung Dalam ‘Adat Bercinta’, Angkat Kisah Realiti Cinta Penuh Naik Turun first appeared on OHBULAN!.





