Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) menggesa pihak berkuasa menjelaskan serbuan polis ke atas rumah wartawan Malaysiakini, sambil menegaskan tindakan itu berisiko menjejaskan kebebasan dan menakut-nakutkan pengamal media.
Dalam kenyataan bersama hari ini, NUJM dan cawangannya di Malaysiakini menyatakan kebimbangan serius terhadap serbuan di rumah B Nantha Kumar, seorang wartawan kanan Malaysiakini yang sedang disiasat polis berhubung laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja migran.
Kesatuan tersebut menyifatkan tindakan itu sebagai “peningkatan yang membimbangkan” terhadap wartawan yang menjalankan tugas profesional mereka, dan menegaskan bahawa pelaporan mengenai perkara berkepentingan awam, termasuk dasar dan sistem kerajaan, merupakan tanggungjawab teras media.
“Kami menegaskan satu prinsip asas dalam mana-mana masyarakat demokratik: kewartawanan bukan jenayah,” tegas kumpulan itu.
Menurut NUJM, serbuan ke atas rumah wartawan atas alasan menyiasat kerja mereka menghantar mesej menakutkan kepada komuniti media, selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengamal ketika menjalankan tugas.
“Ia menimbulkan kebimbangan serius mengenai ugutan, perlindungan sumber, serta penghakisan kebebasan media di Malaysia.
“Tindakan sebegini berisiko menghalang wartawan daripada meneruskan kerja penyiasatan kritikal yang penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat,” katanya.
Kesatuan itu juga menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan yang telus mengenai serbuan tersebut, termasuk asas perundangannya, serta menghormati perananan wartawan dengan menegakkan kebebasan media.
Laporan polis oleh kementerian
NUJM turut menegaskan tiada wartawan seharusnya berdepan gangguan, ugutan atau tindakan menghukum kerana menyiarkan laporan yang sah.
Selain itu, kesatuan tersebut menggesa Majlis Media Malaysia agar memantau rapat perkembangan siasatan berkenaan, sambil menegaskan bahawa mempertahankan kebebasan media adalah komitmen bersama semua wartawan.
“Hak untuk melaporkan bukan satu keistimewaan yang boleh diberi atau ditarik sesuka hati. Ia adalah asas kepada kebertanggungjawaban,” tegas kenyataan itu lagi.
Sementara itu Muda turut menggesa pihak berkuasa menghentikan ugutan terhadap media, dengan menyatakan bahawa kes ini bukan kejadian terpencil.
Ketua Penerangan Muda, Rasid Abu Bakar, berkata jika tiada apa yang hendak disembunyikan, sesuatu isu itu boleh dijelaskan secara terbuka.

"Menggantikan hak untuk menjawab dengan laporan polis adalah usaha mengelak akauntabiliti.
“Itu bukan kepimpinan. Itu adalah pengabaian tanggungjawab,” katanya.
Hari ini, Nantha diberikan waran geledah yang menyatakan bahawa polis mempunyai alasan untuk mengesyaki rumahnya digunakan untuk menyimpan bahan berkaitan cadangan sistem pengambilan pekerja migran.
Waran tersebut mendakwa dia memiliki salinan — sama ada fizikal atau bahan — dokumen rasmi, iaitu memorandum kabinet bertajuk Cadangan Pelaksanaan Sistem Digital, Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), dalam Proses Pengambilan Pekerja Asing ke Malaysia.
Sekitar jam 2.30 petang, dua anggota polis berpakaian biasa tiba di kediamannya di Seri Serdang, Selangor dan menjalankan pemeriksaan selama kira-kira 45 minit, tanpa sebarang barangan dirampas.
Difahamkan siasatan itu dimulakan susulan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Sumber Manusia selepas gagal memberi maklum balas terhadap permintaan berulang daripada Malaysiakini sebelum artikel tersebut diterbitkan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat tanpa kebenaran, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana dakwaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.





