Perdana Menteri berkata Negeri Sembilan tidak dijangka mengadakan pilihan raya negeri di tengah kemelut pemerintahan yang berlaku ketika ini.
Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta persidangan dewan undangan negeri (DUN).
"Kemungkinan besar tidak, (namun) ia terpulang kepada Tuanku, dan sudah tentu persidangan DUN," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dengan kepimpinan tertinggi Huawei yang diadakan sempena pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan jika pilihan raya negeri akan diadakan di Negeri Sembilan untuk menyelesaikan situasi semasa di situ.
Terdahulu, perdana menteri berkata sebarang perkembangan mengenai pentadbiran Negeri Sembilan akan diumumkan apabila tiba masanya.
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia akan bertemu Anwar segera untuk membincangkan perkara berkenaan.
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri berkata mesyuarat itu antara lain akan menyentuh tindakan 14 Adun BN yang menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Aminuddin Harun.





