Luahan seorang wanita di platform Threads yang mendakwa suaminya telah bernikah kali kedua secara senyap-senyap di Siam mengundang perhatian ramai.
Artikel Berkaitan: Tular Video Wanita Dicerai Ketika Live TikTok – ‘Suami Kahwin Lain Tanpa Pengetahuan, Mereka Suka Provok Saya’
Tak marah suami kahwin lain

Menerusi hantaran tersebut, wanita itu mengakui dia tidak marah dengan tindakan suaminya, malah berasa keliru dengan emosi sendiri terhadap apa yang berlaku.
Suami saya baru mengaku bahawa dia sudah bernikah lain di Siam minggu lepas, ketika dia kononnya keluar bekerja di luar kawasan. Itu kali pertama dia tidak pulang ke rumah.
Reaksi saya, saya tidak marah dia berkahwin, tetapi saya marah kenapa tidak bernikah mengikut cara yang betul. Dalam masa sama, fikiran saya lebih memikirkan tentang hutang yang perlu dibayar.
Sepanjang seminggu ini, dia tidak pernah tidak pulang ke rumah atau balik lewat. Jadi, memang dia tidak meluangkan masa bersama isteri baharunya.
Tambah wanita itu, sejak awal lagi dia berasakan dirinya tidak cukup sempurna untuk suaminya sehingga merasakan tidak layak untuk berasa marah.
Sejujurnya, dari dulu saya rasa diri saya ini tidak cukup sempurna untuk dia. Jadi apabila dia berkahwin lain, saya rasa seperti tidak layak untuk marah.
Dia kata dia sudah menolak, tetapi perempuan itu masih mengejarnya. Selepas dia beritahu perkara sebenar, saya sendiri menyuruh dia keluar dan meluangkan masa dengan isteri baharunya.
Ini kerana saya memang tidak mahu melayan dia dan tidak mahu melihatnya. Saya perlukan masa untuk diri sendiri. Setitik air mata pun tak keluar. Cuma hati saya rasa berat. Nak buat kerja rumah, mengemas pun sangat malas.
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut meminta pandangan orang ramai untuk berdepan dengan situasi yang sedang dialaminya ketika ini.
Saya tidak sedih, tidak marah, tidak menangis, tidak mengamuk. Jadi, apa yang saya perlu buat? Perlukah saya marah dan mengamuk? Suruh dia membuat pilihan? Atau minta berpisah?
Saya tidak tahu. Saya cuma mahu meluahkan, tetapi tidak mahu orang terdekat tahu. Macam mana saya hendak hilangkan rasa dalam hati ini? Apa yang perlu saya lakukan? Bagaimana reaksi yang sepatutnya?.
Sumber: Threads
The post Isteri Tidak Marah Suami Nikah Senyap-Senyap Di Siam – ‘Setitik Air Mata Tak Keluar, Patut Ke Sedih Atau Berpisah?’ first appeared on OHBULAN!.





