Keseluruhan peruntukan untuk bukan bumiputera di bawah belanjawan persekutuan telah meningkat sebanyak 5.9 peratus daripada jumlah yang diluluskan pada 2022, menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian itu dalam respons kepada Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) menegaskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan peruntukan untuk rakyat, termasuk khusus untuk Cina, India dan minoriti lain.
“Ini dibuktikan melalui belanjawan di bawah kerajaan Madani di mana peningkatan sebanyak 5.9% sejak tahun 2022.
"Oleh yang demikian, dakwaan bahawa peruntukan yang diluluskan merosot berbanding dengan zaman kerajaan sebelum ini adalah tidak berbangkit," menurut jawapan bertulis.
Kerajaan juga mengulangi bahawa Belanjawan 2025 difokuskan untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat Malaysia, di samping membantu golongan yang memerlukan melalui pemindahan tunai RM13 bilion.
Lim sebelum itu meminta menteri kewangan untuk memecahkan peruntukan bukan bumiputera yang disasarkan, dan menjawab dakwaan bahawa jumlah itu kini lebih rendah berbanding yang diberikan pentadbiran sebelumnya.
Pengerusi DAP itu sebelum ini mendedahkan bahawa belanjawan Perikatan Nasional 2022 telah memperuntukkan RM345 juta atau kira-kira 3 peratus daripada belanjawan persekutuan untuk bukan bumiputera, dan meminta kerajaan sekarang meningkatkan peruntukan kepada 10 peratus.
Jawapan bertulis kepada Lim tidak menyatakan jumlah peruntukan semasa untuk bukan bumiputera tetapi peningkatan 5.9 peratus daripada RM345 juta berjumlah kira-kira tambahan RM20 juta.
Di samping itu, jawapan itu menyenaraikan sembilan program - sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran - ditawarkan untuk mengukuhkan penglibatan bukan bumiputera dalam pelbagai bidang.





