Banyak cara yang boleh digunakan bagi membantu penternak babi di Selangor termasuk peralihan industri kepada penternakan lain seperti ayam, kambing, atau lembu, kata Pemuda PAS Selangor.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata tidak sepatutnya pemimpin DAP menggunakan kebebasan bersuara untuk menyanggah titah Sultan Selangor.
Sukri menegaskan bahawa penganjuran Himpunan Daulat Tuanku di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam bukan bertujuan menafikan hak bersuara mana-mana pihak, sebaliknya merupakan manifestasi mempertahankan adab, Perlembagaan, dan institusi diraja.
"Jika benar mahu membantu pengusaha dan menjaga kebajikan ekonomi rakyat, banyak pendekatan alternatif boleh dibahaskan secara matang dan rasional seperti membantu peralihan industri kepada penternakan lain seperti ayam, kambing atau lembu melalui insentif dan latihan semula.
"Mewujudkan skim transformasi agro moden yang lebih mesra alam dan kurang sensitif kepada masyarakat setempat.
"Memperkasakan sektor import bekalan daging babi dari negeri atau negara lain yang dibenarkan tanpa perlu memperluaskan penternakan di Selangor.
"Menawarkan bantuan pemulihan ekonomi yang wajar kepada pengusaha terlibat agar mereka tidak terkesan secara mendadak.
"Inilah pendekatan yang lebih matang, bijaksana, dan menghormati titah Sultan Selangor," tambah beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukri berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang didakwanya cuba mengelirukan orang ramai mengenai motif sebenar himpunan aman tersebut.
Terdahulu dalam tulisan di Malaysiakini, Lee berkata Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Hak dan kebebasan untuk bersuara serta berhimpun setiap warganya, terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama, Malaysia juga merupakan sebuah masyarakat berbilang kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya, yang harus dijaga kepentingan dan keperluan masing-masing.
Katanya, selaku Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki menggalas tanggungjawab untuk membawa isu yang menjadi keprihatinan penduduk Selangor ke dewan undangan negeri (DUN) untuk dibahaskan.
"Isu penternakan babi yang dibangkitkan Adun Seri Kembangan membabitkan kepentingan awam – antara keperluan sumber protein dan kelestarian alam – yang harus ditangani secara adil, telus, rasional dan profesional
"Jika suara itu tidak boleh dibawa ke dewan yang mulia, ke manakah lagi suara rakyat boleh disampaikan dalam proses rundingan dan pembuat dasar?
"Di sini, kepentingan rakyat Selangor untuk mendapatkan sumber protein, kebebasan bersuara seorang Adun dan DUN, serta kebebasan berhimpun untuk PAS Selangor yang tidak bersetuju dengan pandangan Adun Seri Kembangan – semuanya terjamin," tulisnya.

Mengulas lanjut, Sukri menjelaskan, walaupun setiap pihak termasuk Adun mempunyai kebebasan menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi, hak tersebut tidak sepatutnya dijadikan "lesen" untuk mengabaikan adab terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
"Apa yang lebih mendukacitakan ialah tindakan Adun Seri Kembangan membangkitkan semula polemik ‘modern pig farm’ (ladang babi moden) ketika sesi perbahasan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor.
"Dari sudut adab kenegaraan dan budaya politik Malaysia, tindakan tersebut dilihat sangat tidak wajar dan tidak sensitif," ujarnya lagi.
Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam pada 16 Mei ini sebagai menyokong titah Sultan Selangor yang tidak berkenan berhubung penternakan babi di negeri itu.





