Dewan Muslimat PAS (DMPM) menyambut baik langkah kerajaan negeri Tamil Nadu, India yang mengarahkan penutupan 717 premis jualan arak bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (Tasmac).
Ketuanya, Nuridah Salleh, berkata langkah itu wajar dipuji kerana mengutamakan kebajikan rakyat khususnya wanita, kanak-kanak dan masyarakat setempat yang terkesan dengan masalah sosial akibat penjualan arak secara terbuka.
Menurutnya, usaha mengawal penjualan dan akses kepada arak merupakan antara langkah penting dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, aman dan selamat.
“Keprihatinan Kerajaan Tamil Nadu terhadap suara rakyat, khususnya wanita yang menuntut perlindungan sosial dan kesejahteraan keluarga, wajar dijadikan contoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan penutupan itu dibuat oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay hanya selepas beberapa hari mengangkat sumpah jawatan.
Menurut Hindustan Times, sebanyak 4,765 kedai arak runcit beroperasi bawah kendalian Tasmac.
Demi menjaga kebajikan masyarakat umum, Vijay mengarahkan penutupan 717 kedai arak runcit dalam tempoh dua minggu yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadah, institusi pendidikan dan terminal bas.
DMPM turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Madras yang mengarahkan penutupan bar yang beroperasi bersama premis Tasmac dalam tempoh enam bulan sebagai perkembangan positif bagi mengurangkan gejala sosial, gangguan awam serta risiko keselamatan masyarakat.
Menurut hantaran itu, sejak sekian lama Islam menegaskan bahawa arak menjadi punca kepada pelbagai kerosakan sosial, jenayah, keganasan rumah tangga dan kemusnahan institusi keluarga.
DMPM juga turut menyeru kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan institusi keluarga supaya terus memperkukuhkan usaha pendidikan, pencegahan serta dasar awam yang lebih tegas dalam menangani budaya ketagihan arak dan kesannya terhadap masyarakat.





