Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang berlangsung Ahad ini dilihat menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu, termasuk persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tahun ini.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata konvensyen pertama selepas empat tahun itu turut disifatkan sebagai “paluan gendang peranang pertama” dengan Pengerusi PH merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat.
“Kemuncaknya adalah amanat yang akan disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam mesej beliau nanti, kita akan dapat hala tuju PH berhubung desas-desus kemungkinan PRN Johor, Melaka dan seterusnya.
“Sudah pasti amanat daripada pimpinan utama Pakatan Harapan ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam pelbagai perkara yang akan disusuli oleh jentera pilihan raya PH, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026, di Kuala Lumpur, hari ini.
Konvensyen PH dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru dan akan menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara yang mewakili PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata pada amanat tersebut, Anwar yang juga Perdana Menteri dijangka turut menyentuh kejayaan pimpinan PH dan Jemaah Menteri dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang sekian lama membelenggu rakyat sepanjang penggal pentadbiran beliau.
Beliau berkata Perdana Menteri setakat ini belum memberikan sebarang petunjuk mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat, sebaliknya menekankan keperluan untuk terus menyelesaikan masalah rakyat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama pentadbiran Kerajaan MADANI, fokus utama pimpinan PH khususnya anggota Jemaah Menteri adalah memastikan agenda perubahan, reformasi dan islah dapat dilaksanakan dengan baik.
Katanya antara usaha yang diberi perhatian termasuk pelaksanaan penyelarasan subsidi seperti petrol RON95 dan diesel yang memerlukan penelitian serta tumpuan tinggi daripada pimpinan kerajaan.
Selain amanat pimpinan utama, konvensyen sehari itu turut menampilkan forum dan podcast melibatkan sayap Wanita dan Pemuda pada sebelah pagi serta sesi bersama ketua-ketua parti komponen PH pada sebelah petang.





