28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tuan Ibrahim wajar jelaskan maksud ‘khilaf’ dalam isu Nik Zawawi – Ulama Umno

    Shopee Sale

    Ulama Umno berpendapat Tuan Ibrahim Tuan Man wajar memberi penjelasan dengan istilah ‘khilaf’ yang digunakannnya semasa menyambut baik permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, semalam.

    Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pada umumnya ada dua maksud di sebalik perkataan ‘khilaf’, masing-masing dari aspek bahasa Melayu dan istilah fiqh.

    Kata Mohd Khairuddin, Nik Zawawi telah membuat kesilapan yang besar dengan menasabkan pada sahabat perkara yang mereka tidak lakukan di zaman jahiliah dan meminta maaf atas kesilapan tersebut.

    “Adapun terma ‘khilaf’ yang dimaksudkan oleh Tuan Ibrahim jika ia bermaksud ‘kesilapan’ sebagaimana Kamus Dewan ia sememangnya khilaf kesilapan.

    “Tetapi jika dia bermaksud ‘khilaf’ sebagaimana terma dalam fiqh Islam iaitu perbezaan pendapat ia adalah satu kesilapan daripada Tuan Ibrahim.

    “Kerana isu ini bukan isu perbezaan pendapat ulama tetapi satu kesilapan dan kesalahan fakta,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

    Semalam Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dilaporkan berkata bahawa PAS sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dibuat Nik Zawawi.

    Ini selepas setiausaha majlis syura ulama PAS itu berdepan kritikan dan tekanan daripada pelbagai pihak - termasuk dalam kalangan pemimpin PAS sendiri - selepas mengaitkan empat sahabat paling rapat Nabi Muhammad dengan perbualan jelik.

    Katanya, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan "bapa ceti" dan menekan orang miskin ketika dia belum memeluk Islam sehingga mampu menjadi kaya-raya.

    MENARIK:  Universiti perlu terima pelajar miskin, tangguhkan yuran

    Sayidina Umar al-Khattab pula didakwa boleh bertindak sewenang-wenangnya jika berminat ke atas mana-mana perempuan Makkah, termasuk dalam kalangan isteri orang.

    Nik Zawawi - yang pernah mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat sebelum ini - bagaimanapun sudah memohon maaf dan mengakui kurang cermat semasa mengucapkan dakwaan tersebut.

    Menurut Tuan Ibrahim, tindakan membuat penjelasan dan memohon maaf selepas melakukan kekhilafan adalah perbuatan yang terpuji, malah wajar dihayati.

    Katanya, orang ramai juga memahami bahawa kesilapan para sahabat Rasulullah SAW pada era sebelum Islam mereka sudah diampuni Allah, justeru masing-masing berjuang bersama nabi.

    "Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada YB Nik Muhammad Zawawi atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan.

    Tuan Ibrahim turut memetik hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.”

    Dia juga memetik kaedah fikah yang menyatakan bahawa meninggalkan sesuatu khilaf adalah lebih baik berbanding sebaliknya.

    "Maka, dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut, diharapkan perkara ini menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan, meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar (warisan) para sahabat," kata Tuan Ibrahim.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah