Pernah rasa duit gaji cepat ‘hilang’ dan fikiran mula serabut memikirkan bil serta hutang? Anda mungkin sedang mengalami financial burnout akibat tekanan kewangan.
Tekanan kewangan

Keadaan ini biasanya hadir tanpa disedari. Secara luaran mungkin anda kelihatan baik-baik sahaja, namun dalam fikiran sentiasa dipenuhi rasa risau tentang duit, masa depan dan kemampuan untuk meneruskan kehidupan harian.
Antara tanda paling biasa seseorang mengalami tekanan kewangan ialah apabila sering berasa cemas setiap kali selesai membayar hutang atau komitmen bulanan.
Ada juga yang mula takut untuk membuka aplikasi perbankan kerana bimbang melihat baki akaun semakin berkurang atau tidak mencukupi untuk bertahan sehingga hujung bulan.
Selain itu, tabiat suka menangguhkan pembayaran perkara penting seperti bil utiliti, sewa rumah atau ansuran juga boleh menjadi petanda seseorang sedang bergelut dengan tekanan kewangan.
Situasi gaji yang cepat habis walaupun baru sahaja diterima turut menyebabkan ramai berasa penat secara mental dan hilang motivasi untuk bekerja.
‘Emotional spending’

Malah, ada yang mula merasakan segala usaha bekerja keras seolah-olah sia-sia kerana simpanan masih tidak bertambah dan keadaan kewangan tetap sama setiap bulan.
Perasaan tersebut akhirnya membuatkan seseorang mudah membandingkan diri dengan orang lain sehingga menambah tekanan emosi.
Dalam sesetengah keadaan, tekanan kewangan juga boleh menyebabkan seseorang melakukan emotional spending, iaitu membeli-belah secara impulsif sebagai cara melepaskan stres buat sementara waktu. Namun rasa lega itu selalunya tidak bertahan lama kerana akhirnya digantikan dengan rasa bersalah dan penyesalan.
Bukan itu sahaja, topik berkaitan duit juga boleh menjadi perkara sensitif sehingga ada yang cepat penat, mudah marah atau mengelak daripada berbincang tentang kewangan kerana ia terlalu membebankan emosi.
Justeru, pakar kewangan menyarankan agar orang ramai mula mengurus bajet dengan lebih teratur, mengawal perbelanjaan tidak penting dan mengelakkan hutang melebihi kemampuan demi menjaga kestabilan kewangan serta kesihatan mental.
Sumber: Treasury.id, Mediacorp Berita
The post Gaji Baru Masuk Tapi Cepat Habis? Anda Mungkin Sedang Alami ‘Financial Burnout’ first appeared on OHBULAN!.





