Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa agar syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikekalkan dengan mewajibkan penggunaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia menegaskan bahawa peraturan sedia ada tidak harus diubah bagi lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mahupun pelajar tahfiz.
"Kekalkan kemasukan ke IPTA dengan menggunakan SPM sahaja! Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz. Nak masuk IPTA wajib SPM," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Ipta.
Bagi calon aliran itu yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara programnya ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Calon aliran itu yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di Ipta.
Dasar pendidikan tak boleh tebuk sana tebuk sini
Menurut Akmal, dasar pendidikan negara sedia ada perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kelonggaran yang boleh menjejaskan struktur sedia ada.
Dia turut percaya bahawa sebelum ini sudah ramai pelajar daripada aliran UEC dan tahfiz yang menduduki peperiksaan SPM mengikut prosedur biasa untuk melanjutkan pelajaran.
"Tidak perlu kita buka lebih banyak flood gate (suatu yang akan sukar ditutup). Dasar pendidikan negara perlu kita ikuti, bukan ditebuk sana sini! Mudah!" tegas beliau lagi.





