28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Hero filem ke layar politik: Vijay, Gen Z dan enigma anak muda M’sia

    Shopee Sale

    ULASAN | Ketika idea untuk menulis artikel ini muncul, saya baru usai menonton filem Sarkar lakonan Vijay. Tatkala dalam dunia realiti Tamil Nadu, Vijay sudah bergerak dalam politik massa dan desas-desus mula meruap bahawa beliau akan mencetak satu lagi kejayaan besar dalam arena politik.

    Sarkar adalah sebuah filem berkisar tentang kuasa rakyat, pilihan raya dan perubahan politik. Mutu lakonan yang neutral, seolah-olah Vijay mempraktikan idealisma untuk dijual kepada khalayak bahawa inilah yang akan dilakukan sekiranya beliau masuk menyertai politik di negeri terkaya di India itu.

    Dalam Sarkar, Vijay memegang watak Sundar Ramasamy, berkelana di Amerika Syarikat hingga menjadi seorang usahawan korporat kaya pulang ke India untuk mengundi tetapi gagal kerana identitinya telah diguna untuk mengundi. Di sinilah beliau memulakan sikap melawannya. Titik.

    Realitinya, kemunculan pelakon terkenal Vijay sebagai kuasa politik baru bukan lagi dianggap sekadar eksperimen selebriti. Tetapi menjadi simbol perubahan besar dalam landskap demokrasi moden bahawa pengaruh budaya popular, media sosial dan psikologi anak muda sudah menjadi senjata paling ampuh dalam pilihan raya.

    Apabila Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu 2026, ramai penganalisis politik India sendiri terkejut.

    Parti yang baru beberapa tahun ditubuhkan itu bukan sahaja berjaya memecahkan dominasi DMK dan AIADMK yang menguasai politik Tamil Nadu sejak 1967, malah hampir membentuk kerajaan negeri.

    Dari kisah realiti Tamil Nadu inilah artikel ini akan merungkai bagaimana pempengaruh (selebriti Vijay), Gen Z (anak muda) mencipta pesona sendiri dalam menentukan individu yang akan diyakini untuk memimpin mereka.

    Dan bagaimana pula generasi muda di negara ini, adakah masih dalam sindrom ‘enigma’ yang sukar dibaca atau boleh ‘tersedut’ dalam gelombang yang melanda dunia ketika ini.

    Berdasarkan daripada apa yang berlaku di Thailand, Indonesia, Korea Selatan sehinggalah mungkin ke Malaysia, generasi muda hari ini tidak lagi melihat politik melalui lensa lama.

    Mereka tidak menilai pemimpin hanya berdasarkan parti. Mereka menilai naratif. Mereka menilai emosi. Mereka menilai keaslian. Dan lebih penting, mereka mahu merasakan bahawa suara mereka diwakili.

    Fenomena Vijay sebenarnya membawa satu mesej penting kepada politik Malaysia. Dalam era digital hari ini, sesiapa yang berjaya menguasai imaginasi anak muda berpotensi menguasai peti undi.

    Politik generasi lama dibina atas struktur akar umbi, cawangan parti, ceramah kelompok dan pengaruh media tradisional.Tetapi politik generasi baharu dibina melalui telefon pintar. TikTok kini lebih berpengaruh daripada pentas ceramah.

    Podcast lebih dipercayai berbanding kenyataan media. ‘Meme’ (kandungan tular satira) politik kadangkala lebih berkesan daripada manifesto setebal 200 muka surat.

    Inilah perubahan besar yang gagal difahami banyak parti politik tradisional. Anak muda hari ini membesar dalam dunia internet. Mereka tidak mempunyai kesetiaan politik yang tegar. Mereka tidak terlalu emosional terhadap sejarah parti.

    Sebaliknya mereka menilai siapa yang kelihatan paling jujur, paling dekat dan paling memahami keresahan hidup mereka. Sebab itu Vijay berjaya mencipta gelombang.

    Beliau bukan sekadar pelakon terkenal. Beliau adalah simbol budaya popular. Dialog filemnya menjadi slogan, tariannya dalam filem Thalapathy Kacheri menjadi ikutan, manakala gaya hidupnya menjadi identiti. Peminatnya pula berkembang menjadi jentera politik organik.

    Apa yang berlaku di Tamil Nadu sebenarnya mempunyai persamaan besar dengan perubahan politik Malaysia sejak Pilihan Raya Umum Ke-14.

    Pada 2018, Malaysia menyaksikan bagaimana pengundi muda memainkan perananan besar dalam menjatuhkan kerajaan yang dianggap terlalu lama memerintah.

    Pada 2022 pula, landskap politik menjadi lebih kompleks apabila Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik membawa jutaan pengundi baharu ke dalam sistem demokrasi negara.

    Ramai parti politik pada awalnya menyangka anak muda mudah dipengaruhi. Hakikatnya tidak. Generasi muda hari ini jauh lebih kritikal. Mereka menolak propaganda keterlaluan. Mereka cepat menghukum hipokrasi.

    Dan mereka mudah berpindah sokongan jika merasakan sesuatu parti gagal memenuhi harapan.

    Gen Z bukan sekadar pengundi

    Di Malaysia hari ini, Gen Z bukan lagi kelompok kecil. Mereka sudah menjadi kuasa penentu. Dalam banyak kerusi bandar dan separa bandar, undi anak muda mampu menentukan jatuh bangun kerajaan.

    Masalahnya, ramai ahli politik masih gagal memahami psikologi generasi ini. Gen Z tidak suka bahasa terlalu formal. Mereka tidak gemar pidato panjang berjela-jela. Mereka mahu komunikasi pantas, ringkas, jujur dan bersifat manusiawi.

    Sebab itu ramai tokoh politik lama gagal menembusi kelompok muda walaupun mempunyai pengalaman luas. Mereka bercakap seperti era televisyen. Sedangkan Gen Z hidup dalam era algoritma.

    Bagi generasi muda hari ini, keaslian jauh lebih penting daripada kesempurnaan. Mereka lebih tertarik kepada pemimpin yang kelihatan “real” berbanding terlalu tersusun seperti robot politik.

    Fenomena ini boleh dilihat di banyak negara. Di Amerika Syarikat misalnya, ramai ahli politik muda menggunakan TikTok untuk mendekati pengundi.

    Di Korea Selatan pula, isu kos sara hidup dan tekanan kerja menjadi tema utama kempen kerana ia dekat dengan realiti anak muda.

    Begitu juga di Malaysia. Anak muda tidak lagi hanya bercakap soal ideologi. Mereka bercakap soal harga rumah, gaji, kos makanan, peluang pekerjaan, kesihatan mental dan masa depan.

    Mana-mana parti yang gagal memahami keresahan ini akan berdepan kesukaran besar dalam pilihan raya akan datang.

    Jika Tamil Nadu memberi contoh bagaimana budaya popular boleh menjadi gelombang politik, Thailand pula membuktikan bagaimana Gen Z mampu menggoncang keseluruhan sistem kuasa lama.

    Pilihan raya Thailand menjadi titik penting apabila parti Move Forward muncul sebagai kuasa politik paling dominan dalam kalangan anak muda. Parti itu menggunakan pendekatan yang sangat berbeza daripada politik tradisional Thailand.

    Mereka agresif di media sosial, bahasa kempen mereka santai, visual mereka moden dan pemimpin mereka pula tampil seperti representasi generasi muda bandar.

    Apa yang lebih menarik, sokongan terhadap Move Forward bukan sekadar soal parti. Ia menjadi simbol protes generasi muda terhadap sistem lama.

    Anak muda Thailand melihat politik sebagai alat perubahan sosial, mereka mahu reformasi institusi, mereka mahu kebebasan bersuara, mereka mahu kerajaan lebih telus dan mereka mahu masa depan yang lebih baik.

    Fenomena itu sangat penting untuk difahami dalam konteks Malaysia. Hari ini, generasi muda Malaysia juga semakin berani menyuarakan pandangan. Mereka lebih berpendidikan, lebih celik digital dan lebih terdedah kepada politik global.

    Mereka melihat bagaimana anak muda di negara lain mencorakkan perubahan.

    Sebab itu pendekatan politik lama yang terlalu bergantung kepada retorik perkauman sempit semakin kurang berkesan di bandar-bandar besar. Anak muda hari ini lebih memikirkan masa depan ekonomi berbanding sentimen nostalgia politik.

    MENARIK:  Projek laluan bertingkat bas, rel JB: Ukas JPM cari sykt layak - MOT

    Politik sebagai hiburan

    Dalam memahami fenomena Vijay, satu buku yang sangat relevan ialah “Amusing Ourselves to Death” tulisan Neil Postman.

    Walaupun buku itu diterbitkan pada 1985, idea yang dibawa Postman seolah-olah sedang hidup sepenuhnya dalam dunia politik hari ini.

    Postman berhujah bahawa masyarakat moden akhirnya akan berubah daripada budaya berfikir kepada budaya hiburan.

    Dalam dunia yang terlalu dipenuhi visual, manusia tidak lagi memilih berdasarkan hujah paling mendalam. Sebaliknya mereka tertarik kepada siapa yang paling mampu menghiburkan perhatian mereka.

    Apa yang menakutkan, Postman mengingatkan bahawa politik akhirnya juga akan berubah menjadi satu bentuk hiburan massa.

    Hari ini, ramalan itu sedang berlaku di depan mata, TikTok menjadi pentas politik, podcast menjadi medan peranang persepsi, ‘meme’ menjadi propaganda moden dan personaliti kadangkala lebih penting daripada idea.

    Hakikatnya fenomena Vijay sangat dekat dengan analisis Postman. Beliau datang daripada dunia hiburan. Beliau memahami emosi massa. Beliau memahami bahasa budaya popular dan beliau tahu bagaimana membina hubungan psikologi dengan generasi muda.

    Dalam era digital, pengaruh budaya popular boleh menjadi lebih kuat daripada ideologi politik tradisional. Anak muda hari ini membesar dalam budaya internet yang bergerak terlalu pantas.

    Perhatian mereka singkat, maklumat bergerak dalam bentuk video pendek, politik pula perlu bersaing dengan hiburan setiap saat. Sebab itu ramai ahli politik lama gagal menyesuaikan diri.

    Mereka masih bercakap dalam bahasa politik era televisyen sedangkan generasi muda hidup dalam budaya skrin telefon pintar.

    Postman sebenarnya memberi satu amaran besar.

    Beliau percaya demokrasi boleh menjadi lemah apabila rakyat hanya memilih berdasarkan hiburan dan emosi semata-mata. Tetapi dalam masa sama, realiti politik moden menunjukkan bahawa sesiapa yang gagal memahami budaya hiburan digital akan tenggelam.

    Inilah dilema politik abad ke-21. Politik perlu serius tetapi untuk menarik perhatian rakyat, ia juga perlu memahami budaya hiburan. Menariknya Malaysia sedang bergerak ke arah realiti yang sama.

    Hari ini ramai anak muda mengenali influencer politik lebih cepat daripada mengenali ahli Parlimen. Ada tokoh politik yang petah berdebat di Dewan Rakyat tetapi gagal menarik perhatian di TikTok.

    Sebaliknya ada tokoh yang berjaya membina pengaruh besar hanya melalui kandungan media sosial yang dekat dengan budaya anak muda. Ini menunjukkan medan politik sudah berubah sepenuhnya.

    Kuasa politik hari ini bukan sekadar tentang siapa mempunyai organisasi paling besar. Tetapi siapa paling berjaya menguasai perhatian masyarakat. Dalam dunia digital, perhatian ialah kuasa. Dan generasi muda ialah pengguna terbesar kuasa tersebut.

    Suka atau tidak Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sudah membuktikan walaupun parti MUDA yang diwakilinya tidak sebesar mana saiz organisasinya.

    Berbanding dahulu, parti yang mempunyai jentera paling besar biasanya mempunyai kelebihan besar.Tetapi dalam era media sosial, persepsi boleh mengalahkan struktur.

    Satu video TikTok boleh mengubah sentimen nasional, satu podcast boleh merosakkan imej politik bertahun-tahun. Satu kenyataan tidak sensitif boleh menyebabkan kemarahan digital besar-besaran.

    Politik moden bergerak terlalu pantas. Sebab itu ramai pemimpin lama kelihatan sukar menyesuaikan diri. Mereka masih bergerak dalam kerangka politik era 1990-an. Sedangkan pengundi hari ini hidup dalam dunia digital yang berubah setiap jam.

    Dalam konteks Malaysia, parti-parti politik perlu memahami bahawa medan peranang sebenar kini bukan sekadar di bilik gerakan. Tetapi di media sosial, di TikTok, di Instagram, di X, di YouTube.

    Dan lebih penting, di ruang emosi anak muda, politik bukan lagi sekadar siapa paling kuat tetapi siapa paling dekat di naluri anak muda.

    Dalam membicarakan perubahan generasi dan jiwa masyarakat, pemikiran Hamka sebenarnya sangat relevan.

    Dalam bukunya “Peribadi”, Hamka menulis bahawa manusia besar bukan sekadar mereka yang memiliki kuasa, tetapi mereka yang mampu memahami denyut jiwa masyarakat.

    Hamka melihat bahawa perubahan zaman memerlukan perubahan cara mendekati manusia. Menurut beliau, pemimpin yang gagal memahami perasaan rakyat akhirnya akan ditinggalkan walaupun mempunyai kekuatan besar.

    Pandangan Hamka ini sangat tepat dalam membaca politik moden. Hari ini, ramai ahli politik terlalu fokus kepada strategi kuasa sehingga terlupa memahami psikologi rakyat.

    Mereka bercakap tentang angka ekonomi, tetapi gagal memahami keresahan emosi anak muda. Mereka bercakap tentang pembangunan, tetapi gagal memahami tekanan hidup generasi baharu.

    Dalam buku “Falsafah Hidup” pula, Hamka banyak membicarakan tentang pentingnya keikhlasan dan hubungan manusia. Beliau percaya manusia boleh menilai ketulusan. Dan dalam politik moden, ketulusan itulah yang dicari anak muda.

    Sebab itu sesetengah tokoh politik yang tidak terlalu sempurna masih boleh menjadi popular kerana mereka dilihat lebih tulen.

    Fenomena Vijay sendiri boleh dibaca melalui sudut ini. Beliau berjaya membina hubungan emosi dengan pengikutnya jauh sebelum memasuki politik.

    Apabila beliau memasuki gelanggang pilihan raya, beliau sebenarnya sudah memiliki “komuniti emosi” yang sangat besar. Inilah kekuatan politik moden.

    Pilihan raya Malaysia selepas ini kemungkinan besar akan semakin dipengaruhi oleh corak pengundian generasi muda. Parti-parti politik tidak lagi boleh hanya bergantung kepada penyokong tradisional.

    Mereka perlu membina hubungan baharu dengan pengundi muda. Dan hubungan itu tidak boleh dibina hanya ketika musim pilihan raya.

    Hendak tahu, anak muda hari ini boleh menghidu kepura-puraan, mereka tahu siapa yang benar-benar konsisten, mereka tahu siapa yang hanya muncul ketika mahu undi.

    Sebab itu politik masa depan memerlukan pendekatan lebih organik, lebih manusiawi, lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat.

    Parti politik juga perlu menerima hakikat bahawa generasi muda hari ini jauh lebih bebas. Mereka tidak mudah takut, tidak mudah terikat dan tidak terlalu obses dengan hierarki politik.

    Kesetiaan mereka bersifat cair, hari ini sokong, esok boleh berubah. Ini menjadikan politik masa depan jauh lebih dinamik dan tidak boleh diramal.

    Fenomena Vijay juga membuktikan satu perkara penting. Budaya popular kini mempunyai pengaruh politik yang sangat besar. Dulu, hiburan dan politik dianggap dua dunia berbeza. Semuanya kini mempunyai kuasa membentuk persepsi politik.

    Kebangkitan Vijay di Tamil Nadu bukan sekadar kisah seorang pelakon memasuki politik. Sebenarnya simbol perubahan besar demokrasi moden.

    Harapnya Vijay akan berjaya dalam politik realiti sepertimana peranannya dalam filem Sarkar. Dan kita boleh berdoa kejayaan itu akan datang kalau tidak minggu ini, minggu depan, kalau tidak bulan ini, bulan depan dan kalau tidak tahun, ini tahun depan. Titik.


    MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan dan bekas editor Selangorkini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah