TINJAUAN | Inisiatif MyKiosk 2.0 yang dilancarkan kerajaan untuk memperkasakan peniaga kecil dengan prasarana moden menerima pelbagai maklum balas — daripada pujian terhadap aspek keselamatan hingga rungutan berkaitan struktur binaan.
Pelaksanaan program di lokasi PJS 2/8 itu merupakan sebahagian usaha memperkemas aktiviti perniagaan kecil menerusi reka bentuk lebih tersusun dan bersih.
Namun, sesetengah pihak membangkitkan kebimbangan mengenai perolehan yang tidak telus dan kios yang tidak digunakan sepenuhnya, selain amaran ia berisiko menjadi projek "gajah putih".
Tinjauan Malaysiakini mendapati ada peniaga yang menyambut baik kemudahan yang ditawarkan — antaranya aspek keselamatan barangan, keselesaan ruang niaga serta kemudahan akses pelanggan.

Pun begitu, terdapat juga suara kecewa terhadap mutu pembinaan dan fungsi kiosk yang didakwa tidak mesra pengguna.
Peniaga apam balik Mohd Niezam Shah, 40 (gambar atas) menyifatkan kos penyertaan terlalu tinggi dan kemudahan yang disediakan tidak menepati jangkaan.
“Bagi saya, kos RM25,000 itu besar sangat dan fungsi di dalam kiosk ini kurang memuaskan.
"Banyak bahagian bumbung yang bocor dan kipas yang diberikan pun cap ayam (tidak berkualiti). Kapasiti bateri yang tidak bertahan lama serta kualiti bahan binaan juga mudah berkarat sedangkan kioks ni baru seminggu digunakan,” katanya.

Peniaga Mohd Fuad Ismail, 64 (gambar atas) berkongsi pandangan sama menyifatkan reka bentuk kiosk tidak sesuai untuk kegunaan tempatan.
“Bagi saya tidak berbaloi. Ketinggian kiosk tidak seimbang dengan penduduk tempatan kerana terlalu tinggi.
"Struktur kiosk menyebabkan mudahnya berlaku ketirisan air masuk ke dalam. Pembekalan tenaga solar juga tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga rojak buah Mohd Azizan Abu Talib, 38 (gambar bawah) menganggap kemudahan yang diterima sangat memudahkan urusan perniagaannya.

“Tahap keselesaan bagi saya adalah amat selesa. Tiada kelemahan apa-apa.
"Pembinaan Mykiosk ni bagi saya berbaloi kerana mudah bagi peniaga untuk menyimpan barangan dan tidak perlu dibawa pulang serta keselamatan barang terjamin.
"Apa yang dimaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan fasiliti yang diberikan adalah benar,” katanya.
Kalimatul Qadra Razis, 31 (gambar bawah) yang membantu perniagaan keluarga pula menyambut baik inisiatif ini meskipun menegur sedikit kelemahan pada aspek peredaran udara.

“Bagi saya, Mykiosk ni selesa cuma kipas saja tidak efisien (tidak berapa kuat). Yang lain semuanya baik sahaja,” katanya.
Bagi pelanggan pula, maklum balas mereka turut bercampur-campur.
Ibrahim Sabaruddin, 77 (gambar bawah) pelanggan tetap di situ menyatakan kekurangan reka bentuk meja yang menyukarkan urusan jual beli.
“Sebagai pelanggan, saya tidak selesa. Tahap ketinggian meja terlalu tinggi membuatkan pelanggan sukar untuk membeli,” katanya.

Penghantar makanan Mohd Noor Firdaus, 40 yang kerap berurusan di MyKiosk sependapat mengenai kelemahan itu.
“Apa yang diniagakan sukar dilihat kerana meja kiosk terlalu tinggi. Ia perlu direndahkan sedikit agar akses kepada pembeli lebih mudah,” katanya.
Lain pula pandangan Muhammad Aidil Adha, 30, dan Izhar Saad, 24.
Kata mereka kemudahan yang disediakan memberi nilai tambah dari segi keselesaan dan perlindungan cuaca.

“Saya berpuas hati membeli di MyKiosk. Akses mudah dan selesa, ada bumbung untuk berteduh ketika panas,” kata Aidil (gambar atas).
“Saya selesa dengan penjualan sebegini dan merasakan prasarana yang dibekalkan oleh KPKT ini memuaskan kedua-dua belah pihak,” kata Izhar.
Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh peniaga dan pelanggan.
Pemuda MCA pada 26 Mei lalu memfailkan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Laporan sayap parti komponen BN itu dibuat bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap projek berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin pula menuntut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menjelaskan kepada rakyat tentang keberkesanan inisatif KPKT itu.
Sebelum ini, Nga memaklumkan kementeriannya bersedia disiasat oleh SPRM berhubung pelaksanaan program MyKiosk.
Nga turut memberi amaran kakitangan kementerian sedang giat mengumpulkan segala video yang menyebar berita palsu berkait isu berkenaan.





