Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus calon wanita dan 70 peratus individu berusia bawah 50 tahun bagi menghadapi pilihan raya akan datang, kata pengasas bersama parti itu, Rafizi Ramli.
Berucap dalam satu ceramah di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi, Rafizi bagaimanapun menegaskan kelayakan tetap menjadi faktor utama dalam pengundian calon Bersama.
“Berdasarkan peranancangan saya dan Nik (Nazmi Nik Ahmad), memang kalau boleh kita nak 70 peratus daripada calon Bersama ni bawah 50 tahun. Kemudian kita nak kalau boleh, lebih 50 peratus wanita, Muda ke tua, itu apa yang kami mahu.
"Tetapi tak boleh atas dasar saya wanita therefore I deserve this, this, this. We want to make sure semua deserve dan boleh jadi wakil rakyat dan pemimpin yang baik," katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menjawab soalan hadirin yang bertanya mengenai pendirian Bersama terhadap penyertaan wanita dalam kepimpinan negara dan pilihan raya.

Mengakui pentingnya perwakilan wanita, Rafizi bagaimanapun berkata parti itu tidak mahu terlalu "berkeras” dalam isu kuota.
"Sama ada kamu wanita ke muda ke tua ke lelaki ke, tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin itu sama.
“Tiada siapa akan memberi laluan yang mudah hanya kerana kamu seorang wanita. Sama dengan yang muda. Tiada siapa akan memberi laluan yang mudah hanya sebab kamu kata 'saya Gen-Z’ ”.
“Jika kamu tidak mencapai tahap diperlukan, baik lelaki ke, wanita ke, yang muda ke, kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik akan memberi kesan buruk pada masa hadapan,” katanya.
Tolak politik perkauman
Dalam program yang sama, Rafizi turut memberitahu mereka yang hadir bahawa Bersama berhasrat menghapuskan amalan politik berasaskan kaum yang sekian lama diamalkan, sebaliknya menawarkan penyelesaian yang adil kepada semua rakyat.
Menurutnya, parti itu mencabar status quo dan mahu membuktikan sebuah parti yang tidak berjuang atas garis perkauman masih mampu mendapat sokongan serta menjadi pilihan pengundi.
Tambahnya, Bersama tidak mahu mengulangi pendekatan politik yang sama seperti diamalkan parti-parti lain sebelum ini.
“Apa yang kami mahu lakukan ialah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi layanan yang adil kepada semua.
"Supaya tak adalah kepada India kami nak janji macam tu, kepada Cina nak janji macam ni. Depan cakap lain, belakang buat lain
“Apabila kami berkata mahu membantu sosioekonomi rakyat dan keluarga rakyat, kami memerlukan satu sistem keselamatan sosial nasional yang bersepadu, semua yang layak dapatlah," ujarnya.





