Orang ramai dinasihatkan sentiasa bersedia dan peka terhadap perubahan cuaca susulan jangkaan fenomena El Nino yang diramal mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fenomena berkenaan yang berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun 2027, dijangka menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering daripada biasa sepanjang Monsun Barat Daya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata keadaan itu, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, selain meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.
“Saya ingin menasihatkan seluruh rakyat agar sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa.
“Gunakan air secara berhemah, elakkan aktiviti pembakaran terbuka serta utamakan kesihatan diri dan keluarga, khususnya golongan yang lebih terdedah kepada cuaca panas,” katanya menerusi hantaran di Facebook ini.
Ahmad Zahid turut menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan saluran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Beliau berkata persediaan awal dan tindakan yang bertanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan memaklumkan fenomena itu, dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September tahun ini.





