Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan dakwaan bahawa keputusan Adun Skudai Marina Ibrahim bersara daripada politik boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu.
Menurut Loke, kekuatan DAP tidak bergantung kepada mana-mana individu kerana wakil rakyat dipilih atas tiket parti.
“DAP sebuah parti yang telah wujud selama 60 tahun. Kami telah mengharungi pelbagai cabaran dan tiada seorang individu pun yang lebih besar daripada parti.
“Parti ini sentiasa berjaya mengatasi cabaran. DAP akan terus kekal,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Loke berkata, walaupun parti itu berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, sejarah panjang DAP dalam menghadapi ujian membuktikan daya tahannya.
Sebelum ini, bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, mengingatkan keputusan Marina boleh menjejaskan usaha parti itu mendekati pengundi Melayu.

Pada 31 Mei lalu, Marina mengumumkan persaraannya daripada politik selepas satu penggal menjadi wakil rakyat.
Ahli politik berusia 38 tahun itu menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama pasukannya dan bukannya disebabkan faktor politik.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, berkata parti itu pada asalnya merancang meletakkan Marina bertanding di sebuah lagi kerusi di kawasan bandar pada PRN Johor akan datang, selain menawarkan jawatan pengerusi sebuah badan berkanun sebagai alternatif.
Marina bagaimanapun enggan mengesahkan ketulenan sepucuk surat bertarikh 30 Mei yang didakwa dihantar kepada Teo.
Surat tersebut menunjukkan dia menolak tawaran untuk meninggalkan kerusi Skudai dan bertanding di kerusi DUN Tiram, selain cadangan melantiknya ke sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya tewas dalam pilihan raya.
Terdahulu, ketika merasmikan tayangan dokumentari sempena ulang tahun ke-60 DAP di Sekolah Menengah Persendirian Confucian, Loke berkata parti itu sejak sekian lama menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak merentasi spektrum politik.
Menurutnya, golongan konservatif Melayu sering menuduh DAP menguasai kerajaan Persekutuan dan mempunyai pengaruh yang berlebihan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, manakala sebahagian pengundi Cina dan India pula mendakwa parti itu mengabaikan isu yang melibatkan komuniti masing-masing.
"Saya nak katakan DAP tak pernah lupa mana-mana pihak. Kita bukan anti-Melayu. Kita adalah parti untuk semua. Kita tak lupa Cina, tak lupa India. Apa yang kita nak ialah menjadi sebuah parti Malaysia, menjadi kita lebih Malaysian untuk keseluruhan rakyat,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, menyifatkan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan terbesar parti itu, selaras dengan realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Mengulangi pendirian DAP untuk membina sebuah Malaysia yang inklusif untuk semua rakyat, Gobind berkata cabaran utama negara ini adalah menyatukan kepelbagaian tersebut agar Malaysia dapat terus maju sebagai sebuah negara yang berjaya dan menjadi contoh kepada dunia.





