DAP akan bertanding di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.
Dia berkata jumlah tersebut merangkumi 10 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya negeri lalu, empat kerusi yang tewas serta tambahan tiga kerusi lagi.
"Disebabkan rundingan akhir antara PKR dan Amanah, (agihan kerusi) akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
"Kami tidak akan mengumumkan kerusi tersebut lagi, tetapi saya boleh mengesahkan bahawa DAP akan bertanding di 17 kerusi," katanya yang juga menteri pengangkutan pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan berkuat kuasa serta-merta pada 1 Jun selepas Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperkenankan pembubarannya.
Ketika ditanya mengenai pilihan raya Negeri Sembilan, Loke berkata DAP akan mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimilikinya dalam DUN negeri itu.
Loke yang juga ahli parlimen Seremban turut menegaskan tidak akan ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri berkenaan.
Katanya, pendirian parti itu jelas dan langkah tersebut merupakan tindak balas susulan pengumuman Umno untuk bertanding secara solo di semua kerusi pada PRN Johor.

Dua minggu lalu, Loke memberitahu satu konvensyen PH bahawa Negeri Sembilan akan membubarkan DUN jika Johor berbuat demikian.
Menteri Besar Johor sementara, Onn Hafiz Ghazi sebelum ini berkata keputusan untuk bertanding secara solo dibuat selepas berunding dengan kepimpinan Umno, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa BN akan bekerjasama dengan Harapan pada pilihan raya negeri itu.
Bagaimanapun, Loke hari ini menegaskan keputusan sedemikian tidak menjejaskan hubungan antara PH dan BN dalam kerajaan persekutuan.
"Setakat yang kami lihat, hubungan pada masa ini masih merupakan hubungan kerja. Kami masih mentadbir kerajaan bersama.
"Sudah tentu kami tidak mahu menjejaskan keadaan di peringkat persekutuan," tambahnya.
Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungannya tidak menutup pintu kepada perbincangan mengenai agihan kerusi dengan PH, walaupun gabungan itu mengumumkan akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.
Dalam sidang media lewat malam pada 4 Jun, Menteri Besar Negeri Sembilan sementara Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan krisis takhta yang melibatkan Undang Luak, sehingga menyebabkan Adun BN menarik sokongan terhadap Aminuddin pada April lalu.





