Umno Negeri Sembilan mencadangkan supaya BN bertanding di semua 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata bagi kerusi tidak ditandingi pada PRN 2023, BN perlu mengetengahkan muka baru yang berpengalaman dan dipilih selepas melalui penilaian dan pertimbangan sewajarnya termasuk calon wanita.
Kata Jalaluddin selain Umno, calon juga boleh dipilih daripada MCA dan MIC.
“Senarai calon kini hampir selesai sebelum diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada minggu depan untuk dimuktamadkan.
“Proses semakan akhir sedang dilakukan dengan mengekalkan hampir 95 ke 97 peratus calon lama di samping membuat penambahan muka baru,” katanya ketika dihubungi Bernama di Seremban hari ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga menteri besar Aminuddin Harun pada Khamis lalu mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.
PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi, manakala baki lima lagi dimiliki PN.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor berbuat demikian pada 1 Jun.





