Kerajaan mewajibkan pusat beli-belah menyediakan fasiliti pengitaran semula (FPS) di premis mereka sebagai antara syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini dan dipersetujui dalam mesyuarat kabinet semalam.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan dimulakan dengan fasa libat urus dan program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan sukarela pengusaha pusat beli-belah diikuti pelaksanaan projek rintis di PBT terpilih bagi menilai keberkesanan mekanisme pelaksanaan.
“Seterusnya, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berfasa sebelum diperluas kepada pematuhan mandatori melibatkan semua pusat beli-belah di seluruh negara,” katanya.
KPKT memaklumkan keputusan itu adalah langkah strategik kerajaan memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara, memudahkan akses orang ramai kepada kemudahan kitar semula serta mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan.
Kementerian itu memaklumkan cadangan tersebut akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi memastikan pelaksanaannya diselaraskan secara menyeluruh pada peringkat kerajaan negeri dan PBT.
“Langkah ini amat signifikan memandangkan Malaysia menjana lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari. Justeru, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi meningkatkan kadar kitar semula negara, menyokong pelaksanaan peluasan tanggungjawab pengeluar (EPR) serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani memperkukuh budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Pusat beli-belah merupakan antara lokasi paling kerap dikunjungi masyarakat.
“Dengan mewujudkan FPS di lokasi strategik ini, rakyat akan mempunyai akses lebih mudah untuk mengasing dan menghantar bahan yang boleh dikitar semula secara bertanggungjawab,” katanya.
Nga berkata langkah itu bukan saja membantu meningkatkan kadar kitar semula negara serta mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan, malah merupakan pelaburan jangka panjang ke arah membentuk masyarakat lebih prihatin terhadap alam sekitar dan menyokong pembangunan ekonomi lebih lestari.
Selain itu, katanya, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada masyarakat, pengusaha pusat beli-belah dan PBT melalui penyediaan kemudahan lebih mudah diakses, peningkatan kadar pengumpulan bahan kitar semula serta pengukuhan pengurusan data berkaitan aktiviti kitar semula secara lebih sistematik.
Selain menyokong sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan, kata Nga, FPS turut membantu memperkukuh pengurusan sisa pepejal bandar serta meningkatkan skor kemampanan bandar di bawah sistem MURNInets.
Orang ramai juga berpeluang menjana nilai ekonomi menerusi program trash to cash melalui penghantaran bahan kitar semula ke fasiliti yang disediakan.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, KPKT berkata, mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, PBT, pengusaha pusat beli-belah serta kementerian dan agensi berkaitan dalam menyediakan garis panduan yang jelas dan seragam bagi pelaksanaan inisiatif tersebut di seluruh negara.
Justeru, kata KPKT, mereka menyeru semua pihak bersama-sama menjayakan inisiatif itu demi membentuk Malaysia yang lebih bersih, hijau dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta agenda pembangunan lestari negara.





