PKR hari ini mengumumkan pelantikan dua pemimpin kanan parti itu, Saifuddin Nasution Ismail dan Dr Zaliha Mustafa, sebagai naib presiden yang baru.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata pelantikan itu dibuat biro politik parti tersebut dalam mesyuarat bulanan yang berlangsung di Batu Pahat, Johor hari ini.
“Ini bagi mengukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan media.
Pelantikan Saifuddin dan Zaliha itu menjadikan PKR kini mempunyai enam orang naib presiden selepas empat yang lain memenangi jawatan tersebut dalam pengundian parti pada Mei tahun lalu.
Fahmi turut memaklumkan kongres tahunan PKR yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Jun ini ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos. Bagaimanapun lokasinya dikekalkan iaitu di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Menurut menteri komunikasi itu, penangguhan dibuat bagi memberi ruang khususnya kepada PKR Johor dan Negeri Sembilan mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.
Untuk rekod, pengumuman hari ini menjadikan tanggungjawab Saifuddin bertambah selepas dia baru-baru ini dilantik sebagai pengarah pilihan raya bersama parti berkenaan.
Dia menggalas tugas tersebut bersama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung PKR.
Ahli Dewan Negara itu juga merupakan Pengerusi PKR Kedah.
Zaliha pula merupakan Ahli Parlimen Sekijang dan pernah menganggotai kabinet sebagai menteri kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Ketika ini Zaliha diberi kepercayaan mengetuai PKR Johor.





