Grab Malaysia menjarakkan diri daripada surat terbuka gabungan gergasi teknologi yang menyatakan kebimbangan mengenai rancangan Malaysia mengenakan lesen terhadap media sosial dan platform pemesejan dalam talian untuk beroperasi di negara ini.
Pada masa yang sama, Gabungan Internet Asia (AIC) mengeluarkan versi baru surat terbukanya dengan memetik "perwakilan yang berkenaan".
Ini mengecilkan bilangan syarikat yang diwakili dalam surat itu daripada 17 kepada enam.
Dalam satu kenyataan, Grab Malaysia berkata ia tidak dimaklumkan atau dirujuk mengenai surat terbuka AIC kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Peraturan yang dicadangkan tidak memberi kesan kepada operasi kami dan oleh itu kami tidak mengambil bahagian di dalamnya. Kami tidak dan tak mahu mengulas mengenai perkara itu.
“Kami tetap komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, mencerminkan misi kami untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Surat AIC terbaru itu bertarikh 26 Ogos mewakili Meta, Google, Amazon, Apple, LinkedIn dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Berbanding versi 23 Ogos yang diumumkan awal hari ini, syarikat yang tiada dalam surat baru itu ialah Grab, Yahoo, Pinterest, Spotify, Booking.com, Zalora, Shopify dan FedEx.
Surat yang ditandatangani oleh pengarah urusan AIC Jeff Paine menggesa kerajaan untuk menangguhkan rancangannya untuk melesenkan platform dalam talian.
“Kami percaya rangka kerja pelesenan ini tidak boleh dilaksanakan untuk industri dan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar kepada perniagaan.
"Ia akan menghalang pelaburan berterusan dan menghalang pelaburan masa depan kerana kerumitan dan kos pematuhan," tambahnya.
Surat itu juga menggariskan lima isu kebimbangan mengenai peraturan baru itu, daripada kurangnya rundingan kepada peningkatan kos menjalankan perniagaan, serta tidak memberi impak signifikan terhadap kandungan dalam talian yang berbahaya.
Ia juga menyokong kawalan kendiri berbanding mengeluarkan lesen.





