Pihak pengurusan Surau Taman Seraya, Ampang membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa membantah laungan azan serta solat Jumaat diadakan di surau berkenaan.
Difahamkan itu itu timbul selepas seorang penduduk bukan Islam yang mendakwa dirinya sebagai wakil masyarakat setempat, mengemukakan bantahan terhadap pihak surau.
Pengerusi surau, Abdullah Sulaiman berkata, isu tersebut telah bermula sejak tahun 2021, namun ketika itu ia tidak begitu agresif sehinggalah bantahan memuncak pada tahun ini.
"Sekarang ini ada gangguan melampau apabila ada tiga perkara yang 'diwhatsappkan' secara peribadi oleh individu tersebut. Yang pertama isunya azan.
"Tiba-tiba timbul isu satu lagi dia tak puas hati kerana kita adakan solat Jumaat. Sedangkan solat Jumaat pihak Jais yang mentauliahkan kita, kita dapat untuk adakan solat Jumaat pada 2019.
"Dia juga meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik.
"Kita membuat laporan polis susulan wujud gangguan yang disifatkan bermotifkan isu agama, raja dan kaum," katanya dalam sidang media di surau berkenaan hari ini.
Menurut Abdullah, sebanyak 10 laporan polis dibuat di Balai Polis Pandan Indah hari ini.
Tambahnya, pihak surau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan individu berkenaan, termasuk dengan kehadiran pihak berkuasa agama, dan menyangka isu tersebut telah selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata Adun Teratai telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog berhubung isu itu di pejabatnya.
Katanya, sesi dialog tersebut akan melibatkan jawatankuasa surau, wakil agensi berkaitan termasuk pihak polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).





