KOMENTAR | Apabila Man City seri dengan Everton pada 5 Mei lalu, saya makin yakin Arsenal akan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL). Ia kemudian dikuatkan lagi apabila Man City mengalahkan Chelsea 1-0 pada 16 Mei untuk memenangi Piala FA Inggeris.
Saya percaya Man City telah ‘kehabisan gas’ dan mendapat satu piala memadai buat dihadiahkan kepada pengurus paling berjaya mereka, Pep Guardiola.
Tidak mungkin Arsenal kalah kepada pasukan seperti West Ham dan Burnley.
Biasalah pembenci-pembenci The Gunners akan mengatakan bahawa pihak penganjur memang hendak memberikan piala kepada kelab itu. Banyak keputusan kontroversi dalam perlawananan Arsenal - West Ham dan Burnley berlaku.
Biarlah pembenci bersedih, lagipun Arsenal kempunan tiga kali berturut-turut sebelum ini dan tiga kali itulah mereka bergelar hampir juara.
Peminat Arsenal dipersenda sebagai skuad paling kuat ‘membotol’ dulu namun kini mereka keluar beramai-ramai untuk mentertawakan para pembenci sepuas-puasnya.
Suka atau tidak Arsenal telah dimahkotakan sebagai juara EPL bagi musim 2025/26. Gayat atau tidak, Arsenal sudah pun juara sebelum wisel penamat perlawana terakhir pada 24 Mei ini dibunyikan.
Jadi kepada pembenci Arsenal, anda boleh menangis di bucu katil sehingga musim baru bermula pada Ogos nanti. The Gunners yang diuruskan oleh Mikel Arteta di mahkotakan sebagai juara sebaik sahaja Man City seri dengan Bournemouth semalam.
Kembali muncul dari tempat sunyi
Lebih memeritkan Bournemouth mendahului seawal minit ke-38. Man City pula terselamat maruahnya melalui Erling Haaland terpaksa menunggu sehingga waktu kecederaan untuk menggegarkan gawang lawan.
Jika sebelum ini Haaland bermegah dengan meminta Arsenal stay humble, sekarang dia terpaksa menjilat semula ludahnya itu.
Badi 22 tahun Arsenal sejak kemenangan skuad The Invincibles pada musim 2003/2004 telah ditamatkan. Keputusan seri Man City - Bournemouth juga bererti Arsenal mendahului liga dengan empat mata dengan hanya berbaki satu perlawanan.
Sekalipun Man City menang perlawanan terakhir mereka dengan jaringan 1,000 gol berbalas kosong, dan Arsenal pula kalah dalam perlawanan akhir mereka kosong berbalas 1,000, City tetap berada di tempat kedua.
Sahabat-sahabat saya yang menyokong Arsenal mula muncul di media sosial selepas sekian lama menghilangkan diri. Sesetengahnya sudah kurang saya kenali kerana begitu lama menyepikan diri.

Arsenal memang layak bergelar juara kerana mereka sangat konsisten musim ini dan berada di puncak EPL untuk tempoh yang lama sambil berjaya menyerap setiap tekanan yang datang.
Misalnya mereka dikatakan akan ‘membotol’ lagi apabila tewas kepada Man City pada April lalu. Memang Arsenal kalah, tetapi mereka bangkit memulihkan keadaan dengan persembahan yang sangat konsisten.
Kejuaraan itu adalah piala kedua dimenangi Arteta. Dia mungkin akan menjadi pengurus Arsenal yang pertama memenangi Liga Juara Eropah jika berjaya menundukkan Paris Saint-Germain pada 31 Mei ini.
Jika itu berlaku makin kembanglah dada penyokong Arsenal mentertawakan pembenci mereka.

Untuk rekod Arsenal telah memenangi liga Inggeris sebanyak 14 kali iaitu 10 kali sebelum Division Satu ditukar namanya kepada EPL dan empat kali Liga Perdana.
Kejayaan The Gunners juga banyak disumbangkan oleh kecekapan penjaga golnya, David Raya. Nampaknya Aidiladha nanti bolehlah peminat Arsenal berhari raya dengan jersey Arsenal.
Tahniah Arsenal. Bergembiralah dan nikmati saat ini sebelum ia berlalu pergi. Berlagaklah sepuas-puasnya sebelum masuk musim baru.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





