Rundingan anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) baru-baru ini mengenai isu pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia telah mengemukakan lapan cadangan utama kepada kerajaan Bangladesh bagi mengatasi kelemahan serius dalam sistem penghijrahan buruh antara kedua-dua negara.
Rundingan yang diadakan di Dhaka pada 7 Mei lalu itu dihadiri pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pengambilan swasta, organisasi masyarakat sivil, kesatuan sekerja dan pekerja migran.
Ia mendedahkan bahawa sistem sedia ada didapati rapuh dan pekerja Bangladesh kerap dieksploitasi meskipun sistem tersebut memberi manfaat kepada ramai pihak.
Seorang wakil Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) turut berkongsi dokumen cadangan itu kepada Malaysiakini.
Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, antara cadangan utama yang dikemukakan ialah rundingan semula Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi memastikan proses pengambilan pekerja lebih telus serta menamatkan amalan pengundian agensi secara terhad.
“Amalan pengundian agensi pengambilan secara terhad telah meningkatkan kos dan mencetuskan persaingan tidak sihat.
“Sekiranya boleh, senaraihitamkan agensi pengambilan yang terbukti terlibat dalam sindiket,” menurut cadangan tersebut, yang turut menyarankan agar pemeriksaan perubatan dihadkan kepada hospital kerajaan yang diluluskan.

Selain itu, mereka turut mencadangkan penambahbaikan sistem digital dan kawalan perubatan termasuk menilai kemungkinan mewujudkan sistem e-dompet (e-wallet) bagi menjejak pembayaran pekerja migran serta melengkapkan sistem Overseas Employment Platform (OEP).
MoU antara Malaysia dan Bangladesh mengenai pengambilan pekerja Bangladesh telah ditandatangani pada 19 Disember 2021 di Kuala Lumpur.
MoU itu bertujuan membuka semula pasaran buruh Malaysia yang digantung sejak 2018, selain mewujudkan mekanisme penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia secara teratur dan sah.
Bagaimanapun, MoU tersebut menerima kritikan daripada agensi pengambilan dan pihak berkepentingan di Bangladesh atas dua sebab utama, iaitu hanya 25 hingga 100 agensi berlesen daripada lebih 1,500 agensi berdaftar dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.
Selain itu, walaupun kerajaan Bangladesh menetapkan kos maksimum sekitar Tk79,000, terdapat dakwaan bahawa pekerja terpaksa membayar antara Tk350,000 hingga Tk500,000 kepada agensi pengambilan.

Sementara itu, seorang pemilik agensi dari Bangladesh, Altab Khan, berkata kedua-dua negara perlu kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing yang didakwa melibatkan rasuah dan salah guna berbilion ringgit.
“Apa yang kami dapati daripada perundingan tersebut ialah peruntukan dalam MoU dengan Malaysia tidak setara dengan perjanjian yang ditandatangani dengan negara penghantar buruh lain.
“Bangladesh tertakluk kepada peruntukan yang berbeza berbanding negara asal lain. Kriteria pengundian agensi yang dicadangkan tidak diterima oleh negara lain dan gagal mempromosikan pengambilan pekerja yang adil.
“Kerajaan Bangladesh disaran mengadakan rundingan semula dengan Malaysia bagi memastikan pariti dalam perjanjian dua hala itu,” katanya sambil mengesahkan dia turut hadir dalam perundingan tersebut.
Altab merupakan pengadu utama yang membuat laporan polis pada 3 September 2024 di Balai Polis Paltan, Bangladesh terhadap 103 individu yang didakwa menggelapkan RM8.36 bilion melalui sindiket terancang.
Antara nama besar yang disebut dalam laporan itu ialah bekas Menteri Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh, Imran Ahmed; bekas setiausaha kanan, Ahmed Munirus Saleheen; bekas ahli parlimen, Nizam Uddin Hazari; serta ahli politik dan Leftenan Jeneral (Bersara), Masud Uddin Chowdhury.
Sekurang-kurangnya 100 pemilik agensi pengambilan pekerja asing Bangladesh (BRA) turut dinamakan dalam laporan tersebut.
Kerajaan Bangladesh kini menjalankan siasatan besar-besaran sehingga membawa kepada penahanan bekas menteri, Imran Ahmed, dan Masud Uddin.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dilaporkan telah menghantar surat kepada Bangladesh bagi menggesa siasatan tersebut dihentikan atas alasan ia tidak berasas

.
Surat bertarikh 23 April 2025 itu dihantar oleh pegawai kanan Kesuma kepada pegawai kanan Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh.
Sehingga kini, Kesuma masih belum menjawab permintaan Malaysiakini berhubung surat tersebut.
Dalam pada itu, Pegawai Kanan Program ILO, Asif Ahmed Tonmoy, dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial berkata rundingan tersebut berjaya menghimpunkan pelbagai pihak untuk membincangkan cabaran utama, pengajaran yang diperoleh serta hala tuju yang berpotensi mewujudkan tadbir urus penghijrahan buruh yang lebih selamat, adil dan telus.
Dia berkata pihaknya berharap cadangan terperinci itu dapat terus menyumbang kepada perbincangan susulan serta usaha kolaboratif ke arah memperkukuh pengambilan pekerja yang adil, migrasi selamat dan tadbir urus penghijrahan buruh antara Bangladesh dan Malaysia.





