Pemimpin-pemimpin Melayu DAP mengecam keras acara Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pilihan raya kecil Nenggiri di Kelantan malam tadi yang menggelar DAP sebagai “kafir harbi”.
Anggota parlimen mereka Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman serta pemimpin pusatnya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, menurut fekah klasik, golongan yang berperanang dengan orang Islam itu halal darahnya.
“Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima,” kata mereka.
Mereka berkata ceramah itu dihadiri oleh anggota parlimen Bachok daripada PAS Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa, bekas pemimpin Umno yang menyertai PAS.
Menurut video yang dikongsi mereka, gelaran itu dibuat oleh pengerusi majlis berkenaan. Ia disiarkan secara langsung di Youtube.
Lelaki itu menggelar DAP adalah kafir harbi yang merancang menguasai Malaysia dengan bantuan sebahagian pemimpin Umno.
Dakwanya, sesiapa yang mengundi Umno dalam pilihan raya kecil Nenggiri minggu depan seolah-olah sedia dikuasai oleh golongan itu.
Dalam kenyataan pagi ini, tiga pemimpin Melayu muda DAP itu berkata kenyataan itu takfiri atau kafir-mengkafir itu tidak boleh diterima.
Mereka justeru menuntut supaya individu terlibat memohon maaf.
Mereka juga mahu tahu sama kenyatan itu direstui oleh pemimpin PAS dan PN.
“Kami juga menggesa supaya pihak Perikatan Nasional berkempen dengan matang dan sejahtera, dan bukannya memainkan politik kebencian seperti ini,” katanya.





