UMNO tidak boleh terbuai dengan nostalgia sejarah lapan dekad perjuangan dan perlu kembali berpaksi kepada DNA asal, iaitu kesederhanaan bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik semasa.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pengundi hari ini tidak lagi boleh ditagih sokongannya sekadar berdasarkan terhutang budi atas jasa kemerdekaan, sebaliknya mereka menilai parti berdasarkan tawaran masa depan yang konkrit.
“Sejarah lapan dekad memang manis untuk dikenang tetapi nostalgia silam tidak mencetak undi untuk masa depan. Landskap politik 2026 telah jauh berubah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.
Noraini berkata Wanita UMNO mahu parti itu kembali kepada prinsip kesederhanaan sebagai kekuatan sebenar dalam mendepani wacana awam yang kini dipenuhi emosi dan kebencian.
Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang senada dengan kenyataan itu menggesa kepimpinan parti supaya tidak lagi mengamalkan pendekatan rigid, sebaliknya perlu mengikut arus semasa, terutamanya bagi menarik sokongan golongan belia.
Beliau menegaskan pemimpin perlu aktif turun padang dan mendekati golongan muda di ruang digital, institusi pendidikan serta tempat kerja tanpa mengamalkan sikap touch and go dengan sekadar mahu mengambil gambar pada majlis tertentu.
“Ubah pendekatan kita. Kita (UMNO) kena keluar daripada kepompong, insya-Allah orang muda akan kembali menyokong kita. Itu semua sudah lapuk sebab orang muda nakkan pemimpin yang benar-benar ikhlas, boleh duduk dengan mereka dan boleh dengar cakap mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Shamsudin dalam ucapannya mencadangkan agar UMNO berpijak di bumi yang nyata dengan membawa solusi tuntas terhadap isu kos sara hidup yang menghimpit rakyat.
Justeru, beliau mencadangkan supaya mekanisme penyasaran subsidi diesel ditambah baik bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, terutamanya pengguna kenderaan persendirian.
“Saya ingin menegaskan bahawa bantuan ini (penyasaran subsidi diesel) perlu diperluaskan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang turut terkesan. Langkah-langkah ini penting agar mereka tidak berasa terhimpit antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga," katanya.





