Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya bertenang dalam menangani kemelut yang melanda Negeri Sembilan dan memberi keutamaan kepada usaha memulihkan ekonomi serta menjaga kepentingan rakyat.
Beliau berkata situasi itu perlu ditangani mengikut peruntukan perlembagaan negeri selain mematuhi titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini hari ini.
Perdana Menteri juga berkata keutamaan ketika ini ialah usaha memulihkan ekonomi negara, bukannya memperbesar isu politik.
“Kita dah nasihat, dan saya dah sampaikan kepada kawan-kawan dalam Pakatan Harapan... kita sampaikan juga kepada pimpinan Umno… nak runding, kita boleh runding tapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat... itu yang penting,” katanya.
Pada Isnin lepas, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Aminuddin pula berkata beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir Negeri Sembilan.





