Terengganu merekodkan kemasukan 2.45 juta pengunjung dan pelancong dari dalam serta luar negara pada suku pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2.03 juta pelancong bagi tempoh sama tahun lepas.
Katanya ia melibatkan penghasilan pendapatan antara RM700 juta hingga RM900 juta yang dijana daripada industri perhotelan, inap desa, makanan dan sebagainya.
"Kemasukan pelancong ke Terengganu sebahagian besarnya melibatkan pelancong yang berpendapatan sederhana yang masuk melalui jalan darat, bukannya pelancong berprofil tinggi.
"Sasaran kerajaan negeri untuk tahun ini ialah sembilan juta pelancong.
“Kalau tengok pada prestasi suku pertama dan rekod tahun lepas, Terengganu boleh capai sasaran tersebut melalui pelbagai program yang diatur dalam kalendar pelancongan Terengganu," katanya pada pelancaran program Karnival Candat Sotong Terengganu 2026 di Pulau Kekabu di Marang hari ini.
Turut hadir Pengarah Pelancongan Terengganu Tengku Mohd Ariffin Tengku A Rahman dan Pegawai Daerah Marang Zulkifli Isa.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang karnival selama empat hari itu berlangsung termasuk persembahan muzik dan kebudayaan, pertandingan sukan air, demonstrasi kraf, pertandingan memasak dan kuiz pelancongan.
Razali berkata lebih 40,000 pengunjung dijangka membanjiri Terengganu untuk musim mencandat sotong yang bermula pada April hingga Ogos.
"Di Terengganu terdapat kira-kira 3,000 pemilik bot yang menawarkan perkhidmatan sewa bot untuk aktiviti mencandat. Bot ini ditempah sejak tahun lepas dan sentiasa penuh," katanya.





