Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku sebagai tidak realistik, khususnya dalam era digital yang memudahkan akses kepada bahan bacaan.
"Agak lawak dan lucu kalau kita kata kita haramkan tapi kita tak ada daya untuk menguatkuasakan.
"Lawak dan lucu di mata dunia hari ini kerana saya boleh beli buku itu secara terang-terangan, saya boleh muat turun buku itu secara di atas talian.
"Apa maksudnya? Maksudnya, kita membuat sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

"Jadi kenapa nak melawakkan diri kita," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada majlis perasmian Kota Baca 2026 semalam.
Acara itu berlangsung dari 23 hingga 26 April di kawasan antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad sempena Hari Buku Sedunia & Hak Cipta Sedunia.
Sementara itu, Khair berkata KDN mungkin boleh mengubah pendekatannya dengan berbincang bersama penerbit.
"Saya fikir, KDN jangan fikir jauh perkara ini untuk melihat bagaimana buku itu.

"Bagi amaran atau panggil penerbit untuk tarik balik elemen-elemen tidak sesuai di dalam buku itu," katanya lagi.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 23 April memaklumkan kerajaan dalam proses membatalkan pengharaman tiga buah buku yang dikaitkan dengan fahaman komunisme.
Dia berkata tiga buku itu ialah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20, Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
Pengharaman tiga buku itu sebelum ini mendapat kritikan pelbagai pihak.

Veteran politik Rais Yatim antaranya memberitahu Malaysiakini bahawa amalan mengharamkan buku tidak lagi realistik di era internet.
Anggota Parlimen Gopeng daripada PKR Tan Kar Hing pula berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan rakyat memupuk budaya berfikir secara kritis.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar memberitahu Malaysiakini penganjuran Kota Baca 2026 bertujuan untuk mendekati golongan bukan pembaca dengan pendekatan santai, interaktif dan dekat dengan gaya hidup semasa.
“Kita tak boleh paksa anak muda masuk ke dunia kita, sebaliknya kita perlu masuk ke dunia mereka. Dunia anak muda hari ini berpaksikan media sosial dan gaya hidup.

"Sebab itu setiap elemen dalam Kota Baca dirancang dengan teliti, bukan dibuat secara tangkap muat.
“Contohnya gabungan buku dan budaya kopi, kerana itu dekat dengan minat generasi muda hari ini. Dengan cara itu, mereka lebih mudah didekatkan dengan budaya membaca,” katanya.
Program ini julung kali anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku itu turut memperkenalkan “passport Kota Baca 2026” berharga RM8, yang memerlukan peserta mengumpul cop di setiap reruai termasuk di Perpustakaan Kuala Lumpur.
Antara tarikan utama ialah acara Larian Karakter Buku yang menggalakkan peserta berpakaian sebagai watak dalam buku. Walaupun tidak semua hadir berkostum, acara itu tetap berjaya menarik lebih 1,000 peserta.

Penyertaan turut melibatkan 50 pelajar OKU penglihatan serta 150 pelajar dengan masalah pembelajaran, menjadikan program tersebut lebih inklusif.
Kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Nik Jazwiri Johannis dan Mohd Afendi Zulkifeli, turut menyertai larian bersama anak-anak mereka. Mereka mengakui pernah menyertai acara larian sebelum ini namun konsep kostum karakter buku memberikan pengalaman baru.
Anak-anak mereka tampil bersemangat mengenakan kostum watak popular seperti Spiderman dan Black Panther manakala Jazwiri pula memakai topeng Iron Man.
Kota Baca 2026 menyasarkan kehadiran antara 50,000 hingga 100,000 pengunjung, mencerminkan usaha berterusan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Antara reruai yang mencuri perhatian ialah Mangosteen Book, sebuah penerbit dari Kajang yang menampilkan novel pelbagai genre termasuk slice of life dan sejarah fiksyen.
Syarikat itu bermula dengan penerbitan komik sebelum berkembang ke dunia novel, dengan identiti jenama yang tersendiri termasuk maskot Cik Manggis dan logo buah manggis pada muka hadapan buku.
“Ramai orang tertarik masuk ke booth kami kerana susun atur, reka bentuk dan penggunaan warna yang berbeza. Mereka juga berkata warna booth kami sangat lain daripada yang lain,” ucap Fatin Hanisah Yusri, jurujual di reruai Mangosteen Book apabila ditemubual.
Selain itu, program ini turut digerakkan dengan bantuan sukarelawan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk Kelah Buku, sesi perkongsian Hentian AI, sesi bersama penulis, pertandingan bercerita serta program derma buku.





