32.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Isu tangguh pemilihan Amanah: Hasbie akui silap kongsi maklumat

    Shopee Sale

    Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda mengakui kesilapannya berkongsi maklumat tidak tepat mengenai hal dalaman parti yang mencetuskan kekecohan semasa konvensyen Amanah baru-baru ini.

    Hasbie menjelaskan kekeliruan itu berpunca daripada salah faham terhadap isu cadangan penangguhan pengundian parti yang dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan peringkat pusat sebelum ini.

    Menurutnya, perkara tersebut memang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan tetapi hanya di bawah agenda terakhir, iaitu hal-hal lain.

    “Perbincangan itu ada buat tetapi sebagai cadangan selepas beberapa AJK (ahli jawatankuasa) berpandangan untuk bersetuju supaya pengundian ditangguhkan. Tetapi itu bukan keputusan rasmi.

    "Saya tersilap faham dan berkongsi maklumat yang tidak tepat tersebut dalam grup WhatsApp AJK Amanah Terengganu,” katanya kepada Malaysiakini.

    Maklumat yang dikongsi Hasbie itu dipercayai tersebar dalam kalangan ahli dan pemimpin Amanah sehingga mencetuskan ketegangan sewaktu konvensyen tahunan parti di Shah Alam hujung minggu lalu.

    Hasbie yang juga anggota Dewan Negara menegaskan semua pihak kini perlu berpegang kepada penjelasan rasmi parti, khususnya kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pada penghujung konvensyen tersebut.

    Dia berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh anggota Amanah Kuala Terengganu, Mohamed Ali, yang meminta kepastian mengenai maklumat dalam tangkap layar WhatsApp yang menunjukkan Hasbie mendakwa parti telah bersetuju menangguhkan pengundian akan datang.

    Konvensyen tegang, dua usul diterima

    Suasana konvensyen pagi Ahad lalu menjadi sedikit tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul berkaitan pengundian parti dibahaskan segera.

    Untuk rekod, sidang kali ini menerima dua usul berhubung perkara tersebut — satu menyokong penangguhan pengundian dan satu lagi menolak cadangan itu.

    MENARIK:  Air mata Anwar, janji dimungkiri: Rafizi bongkar kisah di sebalik lantikan Ramanan

    Difahamkan, kedua-dua usul diterima namun tidak dibahaskan.

    Kekeliruan yang timbul memaksa Pengerusi Tetap Amanah, Azhar Abd Shukur menenangkan keadaan dengan bantuan skuad keselamatan parti. Sidang kemudian disambung tanpa sebarang insiden tidak diingini.

    Isu penangguhan pengundian dianggap sensitif kerana ia melibatkan percaturan strategi menghadapi pilihan raya umum (PRU), selain kekangan perlembagaan parti yang mengehadkan jawatan presiden kepada dua penggal.

    Presiden Amanah, Mohamad Sabu dilihat tidak lagi boleh terus memegang jawatan itu apabila pengundian baru diadakan kelak.

    Semasa sesi penggulungan, Khalid Samad menjelaskan tiada keputusan dibuat berhubung tarikh pengundian parti yang dijadual pada tahun depan.

    “Tiada mesyuarat lagi untuk bincang kerana apa? Kerana kita tak tahu pilihan raya (umum) bila.

    "Jadi mengikut perlembagaan (parti), memang pimpinan ada kuasa untuk menentukan kalau nak tunda, jadi kita lihat tahun hadapan.

    "Tiada orang buat keputusan nak tangguh, tiada orang buat keputusan nak teruskan, belum lagi,” tegasnya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, dalam ucapannya memaklumkan bahawa jawatankuasa usul telah bermesyuarat dan menerima kedua-dua usul berkaitan pengundian parti tahun depan.

    “Jawatankuasa usul telah bermesyuarat dan menerima kedua-dua usul ini sebagai cadangan.

    "Apabila usul berkaitan isu ini diterima, maka kita berpendapat tidak perlu lagi untuk kita bahaskan, sebab usul sudah diterima.

    "Soal bila kita nak buat pengundian itu bergantung kepada strategi pilihan raya, yang paling penting kita nak bawa parti ini menang dalam PRU akan datang dan terus memerintah negara bersama PH dan gabungan perpaduan,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah