27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KDN: Buku berkait PKM diharam berdasarkan penilaian semasa, keselamatan

    Shopee Sale

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menjelaskan tindakan pengharaman dua buah buku berkaitan Parti Komunis Malaya (PKM).

    Dalam satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan pengharaman buku terbabit dibuat berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam.

    "KDN ingin menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu penerbitan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

    "Dalam hal ini, setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran yang berkaitan," kata kementerian itu dalam kenyataan.

    Menurut KDN, hasil pemantauan berterusan serta maklumat risikan yang diterima turut mendapati terdapat bahan penerbitan yang mengandungi unsur dan ideologi komunisme yang mula beredar secara lebih terbuka di pasaran.

    "Jika sebelum ini penyebaran bahan seumpama ini bersifat terhad dan tertutup, perkembangan mutakhir menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut, yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara," jelasnya.

    Semalam penerbit Gerakbudaya mengesahkan pihaknya diberikan notis daripada KDN mengenai pengharaman buku yang mengisahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

    Menurut Gerakbudaya, buku bertajuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 pertama kali diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 dan sejak itu telah diulang cetak sebanyak tiga kali.

    Sebuah lagi buku yang diharamkan berjudul Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, yang diterbitkan pada 2022.

    MENARIK:  Kementerian Undang-undang sepatutnya udah lama diwujudkan - Zaid

    Perkembangan pengharaman buku tersebut membangkitkan kritikan terhadap KDN termasuk di kalangan pemimpin PH.

    Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin yang juga cucu kepada Shamsiah Fakeh turut menyatakan rasa kecewa dan menggesa KDN menarik balik pengharaman buku tersebut.

    Dia turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas dan berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu.

    Bagaimanapun KDN menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan terbabit bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah.

    Sebaliknya, katanya, pengahraman tersebut adalah langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

    Kementerian itu juga menegaskan tidak akan berkompromi terhadap cubaan untuk menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang negara.

    "Semua pihak juga diseru agar tidak membesarkan isu ini atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam. Sebarang semakan berkaitan status larangan penerbitan boleh dibuat melalui saluran rasmi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN," ujarnya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah