Kerajaan Negeri Kedah akan mengeluarkan arahan kawalan perbelanjaan dalam pentadbiran negeri sebagai langkah menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata arahan itu, yang menggalakkan amalan perbelanjaan berhemat serta mengelakkan ketirisan hasil dan kesilapan merugikan kerajaan, akan dikeluarkan selepas urusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai.
"Kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan krisis di Asia Barat serta ketegangan konflik yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan kenaikan kos bahan api, sekali gus memberi kesan langsung kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.
"Menjunjung titah Tuanku Sultan Kedah berhubung keperluan mengamalkan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Ahli-ahli DUN turut menyuarakan kebimbangan sama berhubung perkara ini," katanya pada sesi penggulungan sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata keutamaan perbelanjaan akan diberikan kepada sektor yang memberi impak serta menyumbang kepada limpahan ekonomi domestik secara langsung kepada rakyat, di samping meningkatkan hasil kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri komited untuk memantau prestasi ekonomi secara berkala," katanya.
Muhammad Sanusi berkata dalam tempoh beberapa bulan akan datang, jika rakyat Kedah terus terkesan oleh ketidaktentuan ekonomi, kerajaan negeri akan menyemak keperluan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi merangsang semula kitaran ekonomi domestik.
Sidang DUN Kedah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.





