Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) hari ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Siti Nurhaliza memaklumkan beliau berada dalam keadaan selamat tanpa memperincikan kejadian yang berlaku.
Pengurus beliau, Rozi Abdul Razak memaklumkan penyanyi berkenaan mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih atas doa semua,” menurut Rozi menerusi hantaran di Instagram Stories.
Insiden itu tular di media sosial selepas beberapa pengguna berkongsi mengenai kejadian berkenaan termasuk gambar dipercayai kenderaan terlibat di lokasi kejadian.
Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan beberapa kenderaan dan berlaku ketika penyanyi itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di sebuah majlis di Sepang.





