Seorang veteran DAP hari ini menggesa PH segera menetapkan garis masa bagi menamatkan kerjasama dalam gabungan Madani.
Kenyataan itu dibuat , Tony Pua susulan kenyataan BN Johor yang mengumumkan keputusan mereka untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Umno telah menunjukkan sifat sebenar mereka - mahu kepada kedua-dua kelebihan sekali gus.
“Ini menjadikan kerjasama pilihan raya di antara PH dan BN dalam PRU ke-16 tidak boleh dipertahankan lagi.
“Sudah tiba masanya untuk PH menetapkan garis masa membubarkan gabungan Madani sebelum kita ditikam dari belakang oleh Umno yang khianat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
BN Johor mengumumkan rancangan mereka untuk meletakkan calon di semua kerusi DUN semalam – sehari sebelum PH dijadual konvensyen nasionalnya di Johor Bahru.
Ia dibuat ketika BN mengadakan kerjasama secara rasmi di peringat negeri dan pusat.
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan untuk bertanding secara solo dibuat selepas berunding dengan kepimpinan Umno.
Pua berkata tiada sebab untuk mempercayai pemimpin Umno yang mendakwa keputusan di Johor tidak akan menjejaskan hubungan BN-PH di peringkat persekutuan.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut berkata adalah lebih bermaruah untuk PH bertanding menghadapi BN walaupun langkah tersebut tidak memberi jaminan kemenangan kepada mereka.
Pada masa sama Pua juga mengingatkan langkah berkenaan tidak semestinya menyebabkan PH kecundang.
“Ya, kita sedang berdepan banyak persepsi negatif pengundi, walaupun terdapat banyak kejayaan terutama dalam ekonomi.
“Tetapi lebih baik kita kalah dalam pilihan raya - dan itu pun belum tentu - dengan maruah dan kehormatan, daripada terkhianati di tangan Umno.
“Biar putih tulang, jangan putih mata,” tegasnya lagi.
BN dilihat mahu mengulangi kejayaan mereka ketika PRN mengejut diadakan di Melaka dan Johor masing-masing pada 2021 dan 2022.
Dalam pilihan raya tersebut, peratusan keluar mengundi yang rendah membolehkan BN memanfaatkan pertandingan pelbagai penjuru dan meraih majoriti dua per tiga di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, kejayaan itu tidak diterjemahkan di peringkat parlimen - terutama di Melaka - dalam PRU 2022 apabila BN gagal memenangi sebarang kerusi parlimen.
Keputusan BN untuk bergerak solo di Johor merupakan tamparan baru terhadap hubungan parti tersebut dengan PH selepas gabungan itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bulan lalu.





