Sepasang suami isteri direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok, April lepas.
Suspek lelaki berusia 26 tahun direman selama tujuh hari hingga Jumaat depan, manakala isterinya yang berusia 27 tahun direman lima hari hingga Rabu ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid di Mahkamah Majistret di Kota Bharu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pasangan itu tiba di mahkamah pada 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap dan bergari serta diiringi anggota polis.
Semalam, mahkamah yang sama turut membenarkan permohonan sambung reman selama enam hari hingga Rabu ini terhadap dua lagi lelaki berusia 25 tahun bagi membantu siasatan kes yang sama.
Dalam kejadian 15 April lepas, mangsa Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, yang mempunyai masalah pembelajaran, maut dipercayai akibat dipukul.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilaporkan meninggal dunia pada 12.55 tengah malam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.





