Isu UEC sekali lagi menjadi pertikaian di antara pelbagai pihak selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Mereka – yang mesti memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) – boleh memohon mengikuti program yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-Sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC yang memiliki UEC pula, antara program yang boleh disertai ialah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Bagaimanapun mereka terikat dengan syarat memiliki kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Malam tadi Muhyiddin berkata kerajaan mesti mengkaji semula keputusan mengiktiraf sijil UEC yang ditadbir sepenuhnya oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Bekas Pengerusi PN itu berkata sebelum ini pengiktirafan UEC hanya terhad kepada bidang pengajian tertentu yang berkaitan dengan bahasa Cina dengan syarat calon mempunyai SPM.
“Pengiktirafan sijil UEC untuk kemasukan ke semua program ijazah di IPTA akan memberikan implikasi yang besar terhadap sistem pendidikan negara,” dakwanya.
Dengan pengiktirafan UEC, kata Muhyiddin, terdapat satu lagi saluran bagi kemasukan ke IPTA yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh sebuah badan bukan kerajaan serta piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan.
“Setakat ini tidak ada mana-mana badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan matapelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan dan pemarkahan UEC,” katanya.
Menurut Mohd Puad sewaktu Muhyiddin menjadi menteri pendidikan, UEC boleh digunakan untuk memasuki institut pendidikan guru (IPG) bagi kursus bahasa Cina – dengan syarat calonnya memiliki SPM.
“Apakah IPG bukan IPTA? Maka apa beza dengan syarat KPT sekarang?
“Boleh masuk ke IPTA guna sijil UEC dengan syarat ada SPM.
“Itu pun untuk laluan kursus tertentu seperti bahasa Cina. Radzi Jidin (Naib Presiden Bersatu yang juga pernah menjadi menteri pendidikan) tahu. Ingatkanlah Muhyiddin,” katanya lagi.





