PH Johor hari ini menzahirkan keyakinan mereka untuk mencatat kejayaan sekali lagi dalam pilihan raya negeri (PRN) seperti yang pernah dilakukan mereka dalam PRU ke-14 pada 2018.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, malah menegaskan pakatan tersebut boleh “menguburkan” BN buat kali kedua.
Berucap di Konvensyen PH Kebangsaan di Johor, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah negeri berkata, keyakinan tersebut dibuat selepas Menteri Besar Onn Hafiz itu memberi isyarat jelas bahawa tiada lagi ruang kerjasama politik BN dengan PH.
Katanya, Johor memang merupakan kubu kuat Umno namun keputusan PRU lapan tahun lalu juga menunjukkan parti itu boleh dikalahkan di tempat kelahirannya sendiri.
“Bumi Johor, tempat lahirnya kawan kita dulu (Umno). Pernah suatu masa dulu diumpamakan kita kuburkan di bumi dia sendiri, tempat lahir dia.
“Insya-Allah dalam pilihan raya kali ini, kita akan kebumikan kembali untuk kali kedua,” katanya disambut sorakan hadirin yang hadir.
Hubungan di antara PH dengan BN Johor memang dilihat masih renggang dengan kedua-dua blok saling menghantar isyarat yang mereka tidak senang antara satu sama lain.
Semalam hubungan itu terus renggang ekoran pengumuman BN Johor – yang dibuat sendiri oleh Onn Hafiz – bahawa mereka akan bertanding di semua 56 kerusi DUN apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan nanti.
Keputusan itu bermaksud, tiada lagi kerjasama di antara BN dan PH di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Kali terakhir Johor mengadakan PRN ialah pada 12 Mac 2022. Ketika itu PRN dijalankan berasingan walaupun dalam hampir semua keadaan, ia dibuat bersekali dengan PRU di seluruh negara.
DUN Johor akan terbubar secara automatik sekitar Disember ini. Namun biasanya kerajaan akan membubarkan DUN lebih awal bagi membuka laluan kepada PRN.
PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.





