Enam pembesar adat Negeri Sembilan menghantar notis kepada Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin, supaya satu sidang khas diadakan bagi membincangkan kemelut pemerintahan adat negeri itu.
Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, sidang khas tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 Mei di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.
Enam pembesar adat berkenaan ialah Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.
Mereka turut menjemput Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu menyaksikan sidang khas berkenaan sebagai pemerhati bebas.
"Agenda sidang khas ini adalah khusus untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat yang semakin meruncing di Negeri Sembilan.
"Kami percaya bahawa sidang ini adalah sangat mustahak demi kepentingan Negeri Sembilan," katanya.
Dalam surat berkenaan mereka mengingatkan Setiausaha DKU bahawa ia merupakan permintaan majoriti ahli DKU sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
Mereka turut merujuk Perkara 16(1) dan 16(3) undang-undang tubuh yang dikatakan memberi kuasa kepada DKU untuk membincangkan sebarang persoalan berkaitan adat dalam Negeri Sembilan serta sebarang persoalan berhubung kewajipan menurut perlembagaan negeri.
Krisis dan kemelut adat di Negeri Sembilan berlaku sejak April lalu selepas Undang yang empat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam sistem Adat Perpatih, Undang Yang Empat mempunyai perananan utama dalam memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun, pelantikan itu bukan dibuat oleh seorang Undang sahaja, sebaliknya melalui muafakat (konsensus) antara semua Undang.
Bagaimanapun, kerajaan negeri enggan mengiktiraf keputusan empat Undang tersebut berasaskan dakwaan bahawa salah seorang Undang itu sendiri telah dipecat beberapa hari sebelumnya.
Pertikaian itu menyaksikan para pemimpin adat berkenaan menggelar Aminuddin sebagai “pembohong” apabila menyatakan sidang Khas DKU mengesahkan pemecatan Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong pada 17 April.

Mereka juga menggesa supaya Aminuddin dipecat daripada jawatannya.
Perkembangan itu kemudian merebak ke Dewan Undangan Negeri apabila Adun Umno Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku Menteri Besar.
Namun usaha mereka untuk menyingkirkan Aminuddin gagal akibat campur tangan politik di peringkat persekutuan.
Di Sungai Ujong, pengumuman mengenai penyingkiran Mubarak sebagai Undang turut mencetuskan masalah berasingan apabila pelbagai pihak tampil mendakwa mereka lebih berhak menyandang jawatan itu.





