Seorang lelaki meluahkan rasa buntu apabila mendakwa dirinya terpaksa memikul tanggungjawab menjaga empat orang anak tiri selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bergelar ibu tunggal.
Artikel Berkaitan: ‘Tak Ada Salahnya Kahwin Dengan Janda, Hati Tetap Memilih Siapa Yang Mahu’ – Fazley Yaakob
Kahwin dengan janda

Menerusi perkongsian di Threads, individu tersebut mengakui pada awalnya dia menyangka isterinya seorang yang berdikari memandangkan sudah lama menguruskan anak-anak sendiri sebelum mereka berkahwin.
Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila hampir semua urusan anak-anak kini dipikul sepenuhnya olehnya termasuk soal persekolahan, makan minum dan keperluan harian.
Aku betul-betul buntu dengan isteri aku. Dia seorang janda dan mempunyai empat orang anak. Masa mula kahwin dulu, aku ingat bila berkahwin dengan janda, mereka lebih berdikari. Rupanya tidak bagi situasi aku sekarang.
Hampir semua tanggungjawab anak-anak dia dilepaskan sepenuhnya kepada aku. Dari hal persekolahan, makan minum, pakaian, semuanya aku yang tanggung.
Menurut lelaki itu lagi, dia juga perlu menguruskan rutin menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah setiap hari walaupun perlu membahagikan masa dengan tuntutan kerja.
Malah, dia mendakwa pernah mencadangkan supaya anak-anak menggunakan pengangkutan sekolah atau pengangkutan awam, namun isterinya melenting dan menuduh dirinya mengungkit.
Aku bukan mengungkit, cuma aku sudah terlalu penat. Anak-anak pula sekolah di tempat berbeza dan ada yang sesi petang. Aku bekerja dan tak boleh sesuka hati keluar awal semata-mata untuk menghantar anak dia ke sekolah.
Aku dah cuba berbincang secara baik dengan dia, tapi akhirnya mesti berakhir dengan pergaduhan.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu turut mendakwa dia menjadi individu yang paling banyak meluangkan masa bersama anak-anak berkenaan sehingga hubungan anak-anak lebih rapat dengannya berbanding ibu bapa kandung sendiri.
Masa hari anugerah anak-anak dia pun, dia atau bekas suami langsung tak datang. Aku juga yang ambil cuti kerja untuk hadir dan tengok anak-anak dia naik pentas ambil anugerah.
Sampai sekarang, anak-anak dia lebih rapat dengan aku berbanding ibu bapa kandung mereka sendiri.
Dalam pada itu, lelaki itu turut meluahkan rasa terkilan apabila isterinya didakwa kurang menunjukkan rasa prihatin terhadap dirinya terutama ketika dia sedang sakit.
Menurutnya, dia pernah dimasukkan ke hospital akibat demam virus, namun sebaik pulang ke rumah dia tetap perlu melakukan kerja rumah sehingga hampir pitam kerana tidak mendapat bantuan daripada isterinya.
Sumber: Threads
The post ‘Ingat Kahwin Dengan Janda Berdikari, Rupanya Tanggungjawab Empat Anak Tiri Lepas Dekat Aku’ – Lelaki Luah Rasa Penat Banyak Berkoban first appeared on OHBULAN!.





