Pemuda Bersatu (Armada) Selangor mengecam alasan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung isu ketiadaan hospital kerajaan di Puchong, Petaling Jaya dan Subang.
Ketuanya Na’im Brundage menyifatkan alasan bahawa kerajaan negeri masih dalam proses mencari tanah sesuai untuk membina hospital di kawasan berkepadatan tinggi itu sebagai alasan memalukan dan menghina kebijaksanaan rakyat Selangor.
“Bagaimana mungkin selepas hampir lapan tahun menerajui pentadbiran negeri terkaya di Malaysia, Amirudin Shari masih gagal menyelesaikan isu asas seperti penyediaan tapak tanah bagi kemudahan kesihatan rakyat?
“Alasan ini amat lemah apabila kita melihat sektor swasta langsung tidak berdepan masalah untuk mencari tapak dan berjaya membina tiga hospital pakar berskala besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2.
“Persoalannya, bagaimana pihak swasta mampu memperoleh tanah untuk membina hospital, tetapi kerajaan negeri Selangor masih terkial-kial mencari tapak?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Amirudin dalam ciapan di X menjelaskan kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari tanah yang sesuai untuk pembinaan hospital di Petaling Jaya.
“Sebelum ini ada tapak tapi harus kos yang tinggi untuk dibeli di samping tapak baru yang dikenal pasti agak jauh (Kota Damansara). Kita sedang mencari tapak tanah alternatif yang lain,” katanya.
Boleh ambil alih tanah swasta
Dalam pada itu Na’im mengingatkan Amirudin bahawa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dan perundangan untuk mengambil alih mana-mana tanah milik swasta demi kepentingan awam seperti pembinaan hospital, sekolah atau balai polis.
Katanya, kuasa ini juga bukan sesuatu yang asing bagi pentadbiran Amirudin.
“Kerajaan negeri terbukti pernah menggunakan akta tersebut sepanjang lapan tahun lalu untuk memperoleh tanah bagi projek-projek besar seperti LRT3, MRT2, ECRL serta projek kolam takungan tebatan banjir.

“Persoalannya, mengapa tindakan yang sama tidak digunakan untuk mewartakan tanah demi pembinaan sebuah hospital kerajaan bagi penduduk Puchong, Petaling Jaya dan Subang?
“Oleh itu, alasan yang diberikan oleh mbenteri esar Selangor tidak boleh diterima sama sekali. Kegagalan ini bukan berpunca daripada kekangan geografi atau ketiadaan tanah, sebaliknya berpunca daripada ketidakcekapan pentadbiran dan ketiadaan tekad politik untuk mendahulukan kebajikan kesihatan rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, Amirudin perlu berhenti memberi alasan dan segera mengambil tindakan untuk membina hospital kerajaan di kawasan-kawasan tersebut.
“Rakyat Selangor sedang memerhati sama ada pentadbiran ini benar-benar mengutamakan kebajikan serta kesihatan rakyat, atau sekadar memberi keutamaan kepada projek-projek yang menguntungkan pihak swasta,” kata Na’im.





