Ramai dalam kalangan kita masih kurang cakna tentang pemilihan sabun badan, sedangkan ia merupakan antara produk penjagaan diri yang kerap digunakan setiap hari.
Artikel Berkaitan: Pandangan Ulama Mengenai Hukum Memakai Minyak Wangi Beralkohol Ketika Solat
Artikel Berkaitan: Sup Ketam Boleh Merawat Demam Denggi? Mitos Atau Fakta? Ini Jawapannya
Menjaga lapisan perlindungan semula jadi kulit

Kebanyakan orang memilih sabun hanya berdasarkan bau wangi atau harga murah, tanpa menyedari bahawa setiap jenis kulit memerlukan formulasi yang berbeza serta memberi kesan yang tidak sama kepada setiap individu.
Hakikatnya, fungsi sabun bukan sekadar membersihkan kotoran, tetapi juga menjaga keseimbangan lapisan perlindungan semula jadi kulit.
Jika tersalah pilih, ia boleh merosakkan lapisan pelindung kulit, menyebabkan kulit menjadi kering, sensitif, mudah berjerawat atau mengalami iritasi.
Menurut pakar dermatologi, tidak semua jenis sabun sesuai untuk semua jenis tubuh kerana setiap produk mempunyai fungsi tersendiri mengikut jenis kulit.
Antara jenis sabun yang paling biasa digunakan ialah sabun buku, sabun cecair dan sabun gel.
Sabun buku sering dianggap lebih bersih kerana ia cepat berbuih dan mudah dibilas. Namun, sabun jenis ini lazimnya meninggalkan rasa kering dan kasar pada kulit.
Hal ini berlaku kerana kebanyakan sabun buku mempunyai tahap pH alkali yang tinggi, dan berupaya merosakkan lapisan perlindungan semula jadi kulit serta menyingkirkan minyak semula jadi yang diperlukan untuk mengekalkan kelembapan kulit.
Sebaliknya, sabun cecair lebih mesra terhadap kulit kerana keupayaannya mengekalkan hidrasi. Teksturnya yang ringan membantu membersihkan kulit tanpa menghilangkan kelembapan semula jadi, menjadikannya pilihan sesuai untuk penggunaan harian.
Sabun gel pula mempunyai tekstur yang lebih pekat dan mengandungi kandungan pewangi yang lebih tinggi.
Walaupun ianya memberikan rasa segar ketika mandi, penggunaan sabun gel secara berlebihan boleh menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan sensitif, terutamanya bagi mereka yang mudah mengalami iritasi.
Sabun tanpa pewangi lebih selamat

Bagi individu yang memiliki kulit badan normal, ketiga-tiga jenis sabun ini boleh digunakan selagi produk tersebut tidak menghilangkan minyak dan kelembapan semula jadi kulit.
Mereka yang mempunyai kulit berminyak pula lebih sesuai menggunakan sabun cecair atau sabun gel.
Namun, jika berdepan masalah jerawat pada badan, disarankan untuk menggunakan sabun gel yang mengandungi bahan aktif seperti salicylic acid atau benzoyl peroxide untuk membantu mengawal penghasilan minyak dan mengurangkan keradangan.
Sekiranya masih memilih untuk menggunakan sabun cecair, pastikan produk tersebut bersifat non-comedogenic atau bebas minyak bagi mengelakkan pori-pori tersumbat dan masalah jerawat menjadi lebih teruk.
Sementara itu, individu yang mempunyai kulit kering dan sensitif disarankan untuk menggunakan sabun cecair kerana formulanya yang lebih lembut serta kaya dengan bahan pelembap.
Kandungan seperti ceramide, hyaluronic acid dan glycerin sangat membantu dalam mengekalkan kelembapan serta menguatkan lapisan pelindung kulit.
Bagi mereka yang mudah mengalami iritasi, pemilihan sabun tanpa pewangi adalah lebih selamat untuk mengurangkan risiko alahan dan ketidakselesaan pada kulit.
Sumber: Wanista
The post Tips Memilih Sabun Badan Mengikut Jenis Kulit first appeared on OHBULAN!.





