34.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MB Selangor dikecam lepas kata tiada tanah sesuai bina hospital di PJ

    Shopee Sale

    Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menggunakan media sosial untuk menjawab keluhan mengenai ketiadaan hospital awam di beberapa kawasan pinggir bandar yang padat di negeri itu.

    Namun, jawapan menteri besar itu mengenai ketiadaan tanah yang sesuai untuk membina hospital awam menuai kritikan daripada netizen mahupun parti politik.

    Amirudin memberi respons kepada hantaran seorang netizen di platform X pada Selasa lalu, yang menyatakan penduduk di Petaling Jaya, Subang dan Puchong tidak memiliki kemudahan hospital awam dan perlu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang lebih jauh.

    MENARIK:  'Kemenangan di Nenggiri bukti ikhtiar ekonomi kerajaan diterima rakyat'

    Sebaliknya, hospital swasta dilihat tumbuh bagaikan cendawan, menyebabkan orang ramai yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan terpaksa ke Shah Alam, Sungai Buloh, Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya.

    Dalam responsnya semalam, Amirudin berkata kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mencari tanah yang sesuai untuk membina hospital di Petaling Jaya kerana faktor kos yang tinggi.

    "Kerajaan Selangor & KKM sedang mencari tanah yang sesuai untuk hospital di kawasan PJ, sebelum ini ada tapak tapi harus kos yang tinggi untuk dibeli di samping tapak baru di kenal pasti agak jauh (area Kota Damansara ), kita sedang cari tapak tanah alternatif lain," kata Amirudin.

    Dalam hantaran susulan, Amirudin berkata projek tersebut merupakan projek kerajaan persekutuan untuk menampung permintaan di sekitar Taman Medan dan PJ Old Town, manakala perananan kerajaan negeri hanyalah memudahkan urusan pengambilan tanah.

    Kementerian Kesihatan memerlukan sekurang-kurangnya lima ekar (2 hektar) tanah untuk membina hospital tersebut.

    Walaupun peruntukan telah disediakan untuk projek itu, Kementerian Kesihatan berpendapat kos pengambilan tanah bagi pilihan sedia ada terlalu tinggi, sehingga menjadikan kos keseluruhan projek meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding pembinaan di lokasi lain.

    Bagaimanapun pengguna media sosial mendakwa Amirudin memberikan keutamaan yang salah dengan merujuk kepada pembinaan pusat data baru, rancangan lebuh raya baru, serta laporan bahawa seorang pemaju hartanah memperoleh beberapa ekar tanah di Petaling Jaya untuk pembangunan projek komersial bernilai tinggi.

    Sebagai respons, Amirudin menegaskan keputusan mengenai terletak di bawah kerajaan persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya memudahkan urusan tanah dan membantu mencari tapak yang sesuai.

    ‘Memalukan dan hina kebijaksaan rakyat’

    Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemuda Bersatu, Na’im Brundage menyifatkan penjelasan Amirudin sebagai lemah dan “amat memalukan” serta menghina kebijaksanaan rakyat Selangor.

    Menurutnya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini tiga hospital pakar berskala besar dibina di Petaling Jaya iaitu Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2.

    “Persoalannya, bagaimana pihak swasta mampu memperoleh tanah untuk membina hospital, tetapi kerajaan negeri Selangor masih terkial-kial mencari tapak?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dia turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil alih tanah milik swasta demi kepentingan penduduk Puchong, Petaling Jaya dan Subang.

    "Oleh itu, alasan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor tidak boleh diterima sama sekali.

    "Kegagalan ini bukan berpunca daripada kekangan geografi atau ketiadaan tanah, sebaliknya berpunca daripada ketidakcekapan pentadbiran dan ketiadaan tekad politik untuk mendahulukan kebajikan kesihatan rakyat," katanya.

    Berapa lama lagi nak tunggu?

    Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) bahagian Gombak berkata Amirudin telah memegang kuasa selama lapan tahun.

    “Berapa lama lagi Menteri Besar mahu mencari tanah? Adakah lebih mudah untuk kerajaan ini memberikan tanah negeri kepada pemaju berbanding membina hospital untuk rakyat?” katanya di X.

    PSM bahagian Petaling Jaya pula mencadangkan supaya KKM mengambil alih sementara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyalurkan dana untuk mengurangkan kos rawatannya.

    Sebagai respons, Amirudin berkata kepada PSM Gombak: “Jangan jadi sosialis yang tidak berfikir,” serta menegaskan tiada tanah kerajaan di Petaling Jaya yang cukup besar untuk membina hospital kerajaan.

    Menjawab pertanyaan netizen lain, Amirudin berkata penggunaan Akta Pengambilan Tanah masih melibatkan kos kewangan kepada kerajaan persekutuan, dan sebarang pengambilalihan PPUM perlu persetujuan antara Kementerian Kesihatan dan Universiti Malaya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah