Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes mengurung dan meliwat seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32 Shah Alam akan dituduh dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata arahan pertuduhan terhadap suspek berusia lingkungan 40-an itu telah diberikan oleh pejabat timbalan pendakwa raya.
“Apabila pertuduhan dibuat, kami akan maklum kepada rakan-rakan media,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
Polis sebelum ini menahan suspek di sebuah bilik sewa sekitar Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu. Sebelum itu seorang remaja lelaki mendakwa dia dikurung dan didera termasuk diliwat oleh lelaki terbabit di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning pada 12 Mei.
Siasatan awal polis mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja terbabit berbual dan menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah suspek.
Suspek yang dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu mempunyai rekod merogol, merompak dan mengurung seorang wanita dengan disabitkan kesalahan pada 2008.





