Lagu raya sentiasa menjadi nadi kemeriahan setiap kali tibanya Syawal. Dari alunan klasik yang penuh nostalgia hingga ke lagu moden yang segar dan rancak, setiap irama membawa bersama kenangan, kegembiraan dan rasa syukur menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Jom sama-sama kita lihat sembilan lagu raya ‘evergreen’ pilihan
Artikel Berkaitan: Gen Z Mendunia Aidilfitri Ini.. ‘Serumpun’ Pula Jadi Siulan Ramai, Jom Tengok 10 Lagu Raya 2025 Pilihan
Artikel Berkaitan: Tampil Dengan Muzik Rancak & ‘Catchy’, Ini 10 Lagu Raya 2024 Pilihan
Senarai lagu raya
Dedang Perantau – Tan Sri P.Ramlee
Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan lagu raya klasik yang menyentuh perasaan tentang kehidupan di perantauan.
Melodinya yang sederhana tetapi penuh emosi telah mengajak pendengar untuk menghayati perasaan sayu, rindu pada keluarga dan keinsafan diri.
Satu Hari Di Hari Raya – Datuk M.Nasir
Satu Hari Di Hari Raya nyanyian Datuk M. Nasir adalah sebuah lagu raya yang menekankan makna sebenar Aidilfitri sebagai hari kemenangan.
Dengan susunan muzik yang tenang dan menyentuh jiwa, lagu ini tidak hanya memaparkan kegembiraan raya, tetapi turut membawa elemen refleksi diri dan kesyukuran terhadap Sang Pencipta serta hubungan kekeluargaan, menjadikannya antara lagu raya yang penuh makna.
Balik Kampung – Datuk Sudirman
Lagu Balik Kampung yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ini menggambarkan suasana perjalanan serta keterujaan untuk bertemu keluarga tersayang.
Menariknya, lirik dalam lagu ini langsung tidak mengandungi perkataan ‘raya’, namun ia tetap menjadi antara karya ikonik yang terus dimainkan setiap kali musim perayaan.
Selamat Hari Raya – Puan Sri Saloma
Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Biduanita Negara yang pertama iaitu Puan Sri Saloma merupakan sebuah karya klasik yang bertemakan nilai keikhlasan dalam bermaaf-maafan serta kegembiraan menyambut Syawal selepas sebulan berpuasa.
Keindahan karya ini terletak pada melodinya yang harmoni, sekaligus membangkitkan rasa teruja, gembira dan kesyukuran, menjadikannya antara lagu wajib yang menceriakan suasana Aidilfitri setiap tahun.
Bersama Di Hari Raya – Cenderawasih
Lagu Bersama Di Hari Raya yang dinyanyikan oleh duo adik-beradik, iaitu kumpulan Cenderawasih, menjadi antara lagu malar segar yang popular sehingga ke hari ini, meskipun sudah 40 tahun berlalu sejak diterbitkan.
Untuk pengetahuan anda, kumpulan Cenderawasih dianggotai oleh adik-beradik berbangsa India iaitu Helen Savari dan Irene Savari.
Meskipun bukan berbangsa Melayu, mereka mampu menyampaikan lagu raya dengan penuh penghayatan dan jiwa, membuktikan bahawa semangat Aidilfitri boleh disemai merentasi budaya dan bangsa.
Selamat Hari Raya – Datuk Sharifah Aini
Biduanita Negara yang kedua, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini turut menghiasi seni tempatan dengan lagu Selamat Hari Raya, membuatkan siapa sahaja tidak akan pernah jemu mendengarnya.
Lagu ini berkisarkan tentang suasana ketika sambutan Hari Raya yang diraikan bersama keluarga dan kenalan yang berkunjung ke rumah. Ia kekal relevan meskipun industri tempatan melalui pelbagai revolusi muzik.
Suasana Hari Raya – Anuar Zain & Ellina Razak
Dirakamkan ketika usia remaja, lagu Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina Razak pastinya merupakan antara lagu yang dimuatkan dalam playlist anda untuk dijadikan peneman ketika memandu semasa pulang berhari raya.
Untuk info, Suasana Hari Raya adalah hasil ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik daripada Habsah Hassan.
Sesuci Lebaran – Datuk Seri Siti Nurhaliza
Magis lagu Sesuci Lebaran ciptaan komposer tersohor, Allahyarham Pak Ngah atau Suhaimi Mohd Zain bersama nukilan lirik oleh Hairul Anuar Harun telah menghasilkan sebuah karya yang tidak akan pernah lapuk dek zaman.
Tambahan pula, lagu ini didendangkan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekaligus menjadikan ia sebuah fenomena hingga ke hari ini.
Seminggu Berhari Raya – Senario
Ikon komedi tanah air, kumpulan Senario, tidak ketinggalan untuk turut mendendangkan karya bertemakan perayaan, iaitu lagu Seminggu Berhari Raya. Lagunya yang catchy, lirik yang santai, diadun dengan melodi tradisional telah membuatkan ramai peminat tak jemu mendengar.
Vokal yang tidak kurang hebat oleh Azlee, Lan Pet Pet, Wahid, Saiful Apek dan Yassin semestinya membuatkan lagu ini bertenaga dan mudah diingati.
Kesimpulannya, legasi yang ditinggalkan oleh para penggiat muzik ini menjadikan lagu raya lebih daripada sekadar hiburan, malah sarat dengan nilai tradisi, kekeluargaan, dan semangat Aidilfitri.
Harapan seterusnya adalah untuk pencipta lagu dan penyanyi generasi baharu agar menghasilkan lagu-lagu yang terus menyemarakkan makna Hari Raya, tetapi tetap menjaga sensitiviti umat Islam, menghormati agama, dan mengekalkan keindahan mesej yang murni.
Dengan cara ini, karya pada masa hadapan akan kekal relevan dan terus menjadi sebahagian daripada kenangan indah setiap Syawal.
The post Tiga Biduanita Negara Dominasi Lagu Raya Sepanjang Zaman…Ini 9 Karya ‘Evergreen’ Rentas Generasi first appeared on OHBULAN!.





